Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
 
 
 
 
Kemaskini Pada: 23 Okt 2019
Versi 8.2.2
 
Belanjawan 2020 diharap turut ambil kira pesisir dan pedalaman Sarawak
Tarikh : 07 Oct 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

2019-10-07T01:00:02+08:00
ABDUL YAKUB
ABDUL YAKUB


MUKAH: Menjelang Belanjawan 2020 yang bakal dibentang pada 11 Oktober nanti, wakil rakyat terutama di kawasan pesisir dan pedalaman Sarawak turut mempunyai harapan besar.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, sebagai salah seorang wakil rakyat yang mewakili penduduk di kawasan pesisir,  beliau tidak mahu melihat kawasan pesisir dan pedalaman dialpakan dalam belanjawan itu nanti.

“Kawasan luar bandar bandar sememangnya banyak ketinggalan dan ini merangkumi kawasan pesisir di Sarawak.

“Kawasan pesisir perlu dibangunkan supaya tidak terlalu jauh jurang pembangunannya walaupun tidaklah semestinya setara dengan kawasan bandar memandangkan sekarang rangkaian jalan raya pesisir dibina dan selaku alternatif kepada Lebuh Raya Pan-Borneo yang menghubungkan pekan-pekan dan kampung-kampung,” katanya kepada Utusan Borneo.

Katanya, antara perkara yang perlu dimasukkan dalam belanjawan adalah pelebaran dan penambahan rangkaian jalan pesisir.

Perkara ini akan menyebabkan lebih banyak kenderaan menggunakan rangkaian tersebut dan menghubungkan banyak lagi daerah kecil selain faktor keselamatan di jalan raya.

“Secara langsung ia turut memberi impak untuk merancakkan lagi ekonomi daerah di sepanjang laluan,” jelasnya.

Kedua adalah mewujudkan kawasan Rawat dan Rehat (R&R) yang lengkap di kawasan tertentu sepanjang jalan pesisir untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya yang mungkin perlu berehat sebentar selepas melalui perjalanan yang agak jauh.

Seterusnya, memperbanyakkan industri moden yang berasaskan produk perikanan dan pertanian seperti kelapa, sagu dan rumbia bagi memberi peluang pekerjaan dan membolehkan para pekebun dan petani memasarkan hasil kebun manakala nelayan memasarkan ikan untuk produk-produk perikanan.

Keempat, hotel dan resort perlu dibangunkan sama ada secara kerjasama dengan syarikat swasta, konglomerat atau badan-badan koperasi di sebahagian jalan pesisir untuk merancakkan industri  pelancongan selain ia akan memberi impak ekonomi dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Kawasan perumahan pinggir pantai dan laut yang lazimnya menjadi pilihan golongan elit untuk membina perumahan kos tinggi yang terdiri daripada banglo dan kondominium mewah boleh juga dirancang untuk meningkatkan kependudukan di kawasan pesisir berserta pusat komersial selain turut mewujudkan perkampungan baharu.

Akhir sekali, perlu dibangunkan pusat penyelidikan ekosistem laut untuk tenaga diperbaharui yang melibatkan kajian contohnya ke atas hutan paya bakau, terumbu karang, rumput laut serta sumber perikanan laut.

Itu merupakan antara cadangan-cadangan yang dapat membantu pihak kementerian untuk merancang pembangunan secara inklusif dan memberi impak pembangunan ekonomi yang lebih berkesan kepada penduduk Sarawak.