Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
 
 
 
 
Kemaskini Pada: 23 Okt 2019
Versi 8.2.2
 
Sarawak berisiko kehilangan potensi inovasi baharu jika tidak guna IR 4.0
Tarikh : 08 Oct 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 


2019-10-08T01:00:01+08:00

 Sesi pertukaran dokumen MoA antara Kadim (tiga kiri) dan Megat Mohd Yatim (dua kanan) sambil disaksikan Abdul Karim (tengah) di UNIMAS.
KERJASAMA: Sesi pertukaran dokumen MoA antara Kadim (tiga kiri) dan Megat Mohd Yatim (dua kanan) sambil disaksikan Abdul Karim (tengah) di UNIMAS.


KOTA SAMARAHAN: Sarawak berisiko kehilangan potensi inovasi baharu daripada bakat dalam negara jika industri tempatan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak mengguna pakai Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Justeru, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berhasrat membantu industri PKS untuk berkembang dan berinovasi selari dengan keperluan semasa.

“Projek-projek yang bakal kita laksanakan di bawah MOA UNIMAS-TERAJU ini akan melihat kepada pemindahan teknologi yang direka oleh para penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan UNIMAS,” kata Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara UNIMAS dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di Rumah Universiti semalam.

Beliau turut menambah bahawa projek itu akan membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan sektor industri gula apong dan ikan salai.

Ujar beliau projek tersebut akan membantu masyarakat tempatan memperluaskan pasaran produk mereka di peringkat global selain mengubah cara kerja serta teknologi yang diperlukan dalam industri masa kini.

“Hal ini sekali gus akan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat di Kampung Tambak, Kampung Tanjung Apong, Kampung Spaoh serta di Pulau Bruit,” ujarnya.

Sementara itu pada majlis sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Megat Mohd Yatim Megat Hamid berkata, kerjasama antara TERAJU dan UNIMAS bagi Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) bersama komuniti yang ditandatangani semalam merupakan antara inisiatif di bawah payung Program DPUB-TERAJU untuk negeri Sarawak.

“Program ini memberi fokus kepada penjanaan pendapatan komuniti B40 luar bandar menerusi inovasi pembuatan dan perusahaan makanan tradisi tempatan iaitu penghasilan gula apong dan ikan salai yang amat terkenal dan sinonim di Sarawak ini,” ujar beliau.

Menurutnya, projek berkenaan melibatkan kos sejumlah RM2.15 juta bertujuan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan komuniti usahawan selain membantu meningkatkan pendapatan mereka.

“Pada masa yang sama, ia dapat menyumbang ke arah pembangunan komuniti Bumiputera setempat dan dijangka mampu memberi kesan rantaian yang positif terhadap usaha membangun dan memodenkan industri penghasilan makanan sekali gus mencipta peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” ujarnya.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, Timbalan Naib Canselor UNIMAS (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr Ahmad Hata Rasit.