Pembinaan jalan tingkat akses penduduk luar bandar | ||||
Tarikh : 25 Aug 2020 Sumber Berita: Utusan Borneo |
||||
LIMBANG: Projek jalan baharu dari Bukit Lubok ke Kampung Seberang Kedai sejauh 3.7 kilometer yang bernilai RM16.7 juta merupakan antara usaha Kerajaan Sarawak menghubungkan dan meningkatkan akses penduduk luar bandar dengan kawasan sekitar melalui pembinaan jalan pesisir. Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, adalah menjadi fokus utama kerajaan negeri untuk membawa perubahan di negeri ini terutama kawasan luar bandar. Beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan pembinaan jalan pesisir yang dulu merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Pan Borneo dekat sini untuk menjadi penghubung kampung-kampung pesisir di sepanjang seberang sungai. “Dengan adanya peningkatan perhubungan jalan raya, ia akan mengubah bentuk pembangunan termasuk dari segi kependudukan. “Pembinaan jalan pesisir ini memberi peluang untuk membangunkan kawasan khususnya di seberang sungai dan jika tak dibangunkan jalan raya, susah pembangunan dilaksanakan,” katanya pada Upacara Pecah Tanah Pembinaan Jalan Baharu dari Bukit Lubok ke Kampung Seberang Kedai di sini, semalam. Turut hadir ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datu Ismawi Ismuni, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Abdul Latip, Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said. Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, apabila jalan pesisir itu dapat dibina di kawasan Seberang Kedai dan sekitarnya ia akan membuka ruang untuk pelaksanaan projek pembangunan lain. “Kawasan di Kampung Seberang Kedai dekat sini akan dibangunkan sebagi kawasan pelancongan dengan pembinaan jeti seperti tebingan sungai mini, pembinaan perusahaan kecil dan sederhana dan rancangan untuk membina projek pembesaran kampung,” ujarnya. Jelasnya, pembinaan jalan pesisir itu memberi peluang kepada masyarakat untuk membangunkan tanah mereka. “Dengan adanya jalan ini, kawasan di seberang sungai akan dibangunkan dengan aktiviti pembangunan, pertanian, penternakan dan aktiviti ekonomi lain sekali gus mengubah taraf hidup rakyat di luar bandar,” jelasnya. Selain itu katanya, penubuhan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) merupakan pendekatan strategik Kerajaan Sarawak ke arah memperkasa usaha pembangunan di kawasan pedalaman serta luar bandar di negeri ini. Menurutnya, penubuhan RECODA di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mampu merancang pelan pembangunan yang dapat membawa limpahan kemajuan dan impak ekonomi ke kawasan berkaitan. “Ia dijangka membawa banyak kemajuan, terutama dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dengan kewujudan banyak peluang pekerjaan dan peluang perniagaan berkaitan, sekali gus mengubah landskap pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar,” ujarnya.
|