Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
 
 
 
 
Kemaskini Pada: 23 Okt 2019
Versi 8.2.2
 
Khidmat pengangkutan berteknologi pintar Digi, BA
Tarikh : 12 Jul 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 


2019-07-12T01:00:01+08:00

 Praveen (kanan) ditemani Lai (kiri) dan Pengerusi Suruhanjaya Multimedia Malaysia Al-Ishsal Ishak merakam kenangan bersama sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2019.
KERJASAMA: Praveen (kanan) ditemani Lai (kiri) dan Pengerusi Suruhanjaya Multimedia Malaysia Al-Ishsal Ishak merakam kenangan bersama sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2019.


KUCHING: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan syarikat bas ekspres Bus Asia (BA) memacu perkhidmatan pengangkutan berteknologi pintar di Sarawak.

Ketua Pegawai Digital Digi Praveen Rajan dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, ia berikutan pengumuman jalinan kerjasama dengan BA pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2019 (IDECS 2019) baru-baru ini.

Malah katanya, langkah itu selaras dengan matlamat Sarawak untuk meningkatkan mobiliti dan pengalaman pengguna dalam perkhidmatan pengangkutan.

“Sebagai penyedia rangkaian terbesar negara, kolaboratif ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menggalakkan transformasi digital dalam perniagaan menerusi penyelesaian digital yang komprehensif.

“Kami percaya kolaboratif strategik seperti ini mampu menyumbang dalam meningkatkan prestasi syarikat-syarikat pengangkutan seperti Bus Asia untuk menyediakan perjalanan dan sambungan yang lebih selamat bagi penumpang mereka semasa dalam perjalanan di seluruh negeri,” kata Praveen.

Menurutnya, kerjasama itu membolehkan Digi dan syarikat bas ekspres terbesar di Sarawak itu memastikan perjalanan yang lebih selamat dan sentiasa berhubung menerusi penggunaan teknologi pintar.

Tambahnya, kerjasama itu juga mendukung rancangan Kerajaan Sarawak untuk merealisasikan pembangunan bandar pintar pada masa depan di Sarawak.

Beliau menjelaskan, antara strategi yang diambil adalah penyediaan kemudahan mobiliti yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna dengan menggunakan teknologi pintar.

“Langkah ini termasuk pemilihan laluan pintar bersepadu, pengurusan aset digital dan penggunaan bas pintar dalam sistem pengangkutan di Sarawak.

“Digi iFleet menggunakan teknologi mobiliti pintar yang mampu menyalurkan matlumat semasa dan notis penting mengenai pergerakan kenderaan, selain boleh mengumpul dan menganalisis matlumat yang diperolehi,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kemampuan ini sekali gus menawarkan kelebihan dalam merancang laluan yang lebih baik seterusnya meningkatkan pengalaman pelanggan.

Tegasnya, Digi iFleet juga dapat memantau sikap pemanduan dan pada masa yang sama memastikan keselamatan penumpang.

Selain itu katanya, dengan memanfaatkan kelebihan teknologi untuk melonjakkan kualiti perkhidmatan dan meningkatkan akses serta ketersediaan maklumat buat pengguna, WiFi iFleet dikuasakan oleh sambungan berkelajuan tinggi Digi yang konsisten.

“Rangkaian Digi di Sarawak merangkumi 77 peratus liputan 4G LTE dan 54 peratus liputan LTE-A,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Biaramas Express Sdn Bhd Lai Sin Kiong berkata, dengan kerjasama itu, BA menawarkan perkhidmatan sambungan tanpa wayar (WiFi) dan sistem penentu kedudukan global (GPS) Digi iFleet di dalam 26 bas.

Beliau menjelaskan, BA berhasrat menyediakan kemudahan WiFi percuma dalam kesemua basnya untuk membolehkan pengguna sentiasa berhubung semasa dalam perjalanan mereka.

“Kami amat berbesar hati untuk mempelopori segmen pengangkutan pintar menerusi jalinan kerjasama dengan Digi iFleet.

“Faktor keselamatan dan keselesaan penumpang merupakan keutamaan kami, oleh itu kami sentiasa berusaha menyediakan penyelesaian pintar yang mampu melancarkan lagi perjalanan mereka,” katanya.

Justeru, beliau memberitahu, BA sangat teruja untuk terus memacu kemajuan dalam transformasi digital ini bersama iFleet.

BA merupakan satu jenama bas ekspres yang beroperasi di bawah Biaramas Express Sdn Bhd dan menyediakan perkhidmatan yang boleh menampung sebanyak 45,000 penumpang dengan sebanyak 780 perjalanan bulanan menerusi laluan di dua bandar raya iaitu Kuching dan Miri, lima bandar iaitu Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu serta satu laluan merentasi negara iaitu ke Pontianak di Indonesia.

Selain itu, 10,000 pelanggan Digi yang pertama yang menebus kod ganjaran BA pada aplikasi MyDigi dapat menikmati diskaun sebanyak RM10 bagi semua laluan BA.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://ifleet.my/.