Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
Font Size Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil

Kemaskini Pada: 13 Dis 2019
Versi 8.2.2
Projek mega bukti GPS benar-benar mampu membela nasib rakyat
Tarikh : 14 Aug 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 


 Dr Abdul Rahman menyerahkan bendera GPS kepada ketua ranting yang menyertai Jelajah GPS-PBB di SK Kampung Pahlawan baru-baru ini. TERIMALAH: Dr Abdul Rahman menyerahkan bendera GPS kepada ketua ranting yang menyertai Jelajah GPS-PBB di SK Kampung Pahlawan baru-baru ini.


LIMBANG: Pelaksanaan pelbagai projek mega di seluruh pelosok Sarawak berjaya menaikkan nama Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai parti yang benar-benar berupaya membela nasib rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata, GPS kini mula dikenali rakyat Sarawak sebagai parti yang ikhlas mempertahan hak-hak Sarawak yang sebelum ini terhakis.

“Kebijaksanaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam melaksanakan kutipan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum meningkatkan pendapatan Sarawak sebanyak RM3 bilion setahun.

“Melalui kutipan cukai tersebut Kerajaan Sarawak dapat melaksanakan projek-projek pembangunan di Sarawak tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” katanya semasa merasmikan Jelajah GPS-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon PDM Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pahlawan, baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Muda Pertanian Sarawak berkata, program berkenaan adalah zon ke-11 dianjurkan PBB Cawangan N79 Bukit Kota bertujuan memperkenalkan logo GPS ke peringkat akar umbi.

Katanya, program tersebut merupakan program bulanan untuk turun padang mendekati masyarakat dan pengundi setempat.

“Program jelajah GPS peringkat negeri akan diadakan dalam masa terdekat melibatkan DUN Bukit Kota, Batu Danau, Ba’Kelalan dan Bukit Sari berada dalam zon terakhir jelajah GPS iaitu zon ke-15.

“Jelajah tersebut akan dirasmikan Abang Johari yang juga presiden PBB, dijangka September depan,” katanya sambil menambah, Zon PDM SK Kampung Pahlawan berada dalam daerah mengundi Tabahan yang mempunyai lebih kurang 1,049 pengundi yang majoritinya berbangsa Kedayan.

Beliau turut menggesa ranting PBB di situ agar proaktif dalam usaha memperkenalkan lambang GPS ke peringkat akar umbi.

Simbolik Program Jelajah GPS-PBB tersebut adalah penyerahan bendera GPS kepada ketua tujuh ranting PBB dalam PDM SK Kampung Pahlawan yang diketuai Sarrulan Razali.

Hadir sama Ketua Pemuda PBB Cawangan Bukit Kota merangkap Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Setiausaha Wanita PBB Bukit Kota Kaunselor Niti Rosli, Ketua PBB Zon PDM SK Kampung Pahlawan Sarrulan Razali, Ketua Pemuda PBB Zon PDM SK Kampung Pahlawan Hikmal Fariatin Mohd Ali Saufi, Penghulu Abu Tinggal dan Ketua Kaum Bunsu Tambah.