Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
Font Size Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil

Kemaskini Pada: 13 Dis 2019
Versi 8.2.2
Pendidikan mesti dikembang bagi tangani cabaran kesan daripada perubahan dunia
Tarikh : 14 Aug 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 


2019-08-14T01:00:01+08:00

 

 Pengarah Urusan Sasbadi Holding Berhad Law King Hui (kiri) dan Presiden MELTA Profesor Dr Ganakumaran Subramaniam (kanan) menunjukkan dokumen MoU masing-masing. Turut kelihatan Manyin (dua kiri) dan Raja Nazhatul Shima.— Gambar  Muhammad Rais Sanusi
KERJASAMA PINTAR: Pengarah Urusan Sasbadi Holding Berhad Law King Hui (kiri) dan Presiden MELTA Profesor Dr Ganakumaran Subramaniam (kanan) menunjukkan dokumen MoU masing-masing. Turut kelihatan Manyin (dua kiri) dan Raja Nazhatul Shima.— Gambar Muhammad Rais Sanusi


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pendidikan mesti dikembangkan bagi menangani cabaran-cabaran kesan daripada dunia yang sentiasa berubah.

Beliau berkata idea-idea pendidikan tradisional tidak lagi mencukupi untuk melahirkan generasi baharu yang berkebolehan menghadapi cabaran pada masa depan.

“Pendidikan mesti berkembang untuk menangani cabaran-cabaran dunia yang sentiasa berubah dan kelas bahasa Inggeris adalah persekitaran sempurna menggalakkan kreativiti serta pemikiran kreatif selain menyemai nilai-nilai murni.

“Oleh itu, adalah masuk akal, guru-guru bahasa Inggeris membincangkan tentang pendidikan (bahasa Inggeris) masa depan untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengajar Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) Ke-28 di sebuah hotel di sini semalam.

Abang Johari berkata pendidikan tidak hanya mengenai penyampaian dan penguasaan pengetahuan serta kemahiran tertentu tetapi menyediakan pelajar untuk masa depan yang menekankan aspek imaginasi serta kreativiti.

“Pendidikan berkualiti adalah pendidikan yang melengkapkan anak-anak kita dengan kuasa imaginasi, kreativiti dan pemikiran kritis bukan hanya untuk terus hidup tetapi berkembang maju.

“Bagaimanapun, imaginasi, kreativiti dan pemikiran kritis perlu seiring dengan sistem-sistem nilai,” katanya.

Justeru beliau berharap persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu akan bertindak sebagai landasan untuk para peserta membincangkan pengajaran bahasa Inggeris pada masa depan.

Ini kerana katanya, bahasa Inggeris memainkan peranan penting sebagai kunci utama kepada pelbagai kemahiran serta pengetahuan.

Sementara itu Penaung MELTA Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dalam ucapannya berkata dalam banyak-banyak isu pendidikan negara, fokus diberikan kepada pendidikan bahasa Inggeris.

“Penurunan standard bahasa Inggeris sejak beberapa dekad telah mencapai tahap ia perlu ditambah baik dalam pengajarannya yang sangat mencabar,” katanya.

Beliau berkata persidangan kali ini dengan tema ‘Pendidikan Bahasa Inggeris dan Masyarakat 5.0: Pembangunan Literasi Lestari’ antara lain bertujuan melihat masa depan pendidikan bahasa Inggeris.

Menurutnya pada masa akan datang, kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam masyarakat 5.0 dan hakikatnya ia telah digunakan dalam pendidikan khususnya mengajar bahasa Inggeris.

Pada majlis sama, turut diadakan memorandum persefahaman (MoU) antara MELTA dengan SASBADI Holdings Berhad dan Cahaya Education and Training Academy Sdn Bhd.