Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
 
 
 
 
Kemaskini Pada: 17 Sept 2019
Versi 8.2.2
 
NADMA bekal 500,000 topeng muka kepada Sarawak
Tarikh : 11 Sep 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 


2019-09-10T14:32:10+08:00

Orang ramai menggunakan penutup hidungan dan mulut ekoran jerebu teruk yang melanda Kuching. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Orang ramai di Tebingan Kuching menggunakan penutup hidungan dan mulut ekoran jerebu teruk yang melanda Kuching pada Isnin. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

 

PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah membuat perolehan dan menghantar 500,000 topeng muka kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berikutan situasi jerebu rentas sempadan yang dihadapi negeri itu pada ketika ini. 

NADMA dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya kini sedang membuat pemantauan rapi keadaan jerebu di Sarawak serta negeri-negeri lain yang berpunca daripada kebakaran di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

"Notis kesiapsiagaan telah dikeluarkan oleh Pusat Arahan Bencana Kebangsaan (NDCC)  kepada semua JPBN untuk mengambil langkah kesiapsiagaan,” menurut NADMA.

Menurut laporan Meteorologi Malaysia (MET) setakat 8 pagi hari ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak khususnya Sri Aman (201) berada ditahap Sangat Tidak Sihat. Kawasan-kawasan lain di Sarawak termasuk Kuching (160) dan Samarahan (127) pula berada di tahap Tidak Sihat

Bacaan IPU di beberapa kawasan di Semenanjung adalah Tidak Sihat seperti Johan Setia Klang (159), Petaling Jaya (131), Shah Alam (123) di Selangor; Cheras (135), Putrajaya (130) di Wilayah Persekutuan; Seremban (112), Nilai (134) di Negeri Sembilan; Tangkak (109) di Johor; dan Rompin (197) di Pahang.

Bacaan IPU 0-50 Baik ; 51-100 Sederhana ; 101-200 Tidak Sihat ; 201-300 Sangat Tidak Sihat ; 300 ke atas Bahaya .

NADMA berkata ia dan Kementerian Pendidikan sedang menyelaraskan perolehan topeng muka untuk dibekalkan kepada sekolah-sekolah di negeri yang terkesan.

"Keputusan penutupan sekolah akan dibuat oleh Kementerian Pendidikan berdasarkan bacaan IPU semasa yang mana secara umumnya sekolah dinasihatkan tutup apabila IPU melebihi 200,” katanya.

NADMA berkata agensi itu dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam keadaan bersedia untuk membantu MET menjalankan operasi pembenihan awan (OPA) jika keadaan atmosfera sesuai.

Rakyat khususnya di negeri dan kawasan yang bacaan IPU di tahap Sangat Tidak Sihat dan Tidak Sihat dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal dan luar, sentiasa memakai topeng muka (mask) jika perlu berada di kawasan terbuka, minum air yang mencukupi dan tidak melakukan pembakaran terbuka.

Dalam pada itu menurut NADMA, Malaysia telah berhubung dengan Indonesia berhubung isu jerebu itu. 

Selain surat memohon kerjasama untuk menangani isu jerebu daripada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin kepada kementerian berkaitan di Indonesia, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zainal Abidin Bakar juga telah mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Luar Indonesia semalam (9 Sept).

Antara perkara yang dibincangkan adalah implikasi negatif terhadap rakyat Malaysia akibat jerebu dan harapan agar pihak Indonesia terus memberi penekanan terhadap usaha pemadaman dan pemantauan serta pencegahan yang konkrit supaya pembakaran dan jerebu rentas sempadan tidak berulang terutamanya pada musim kemarau yang akan menjelang dalam beberapa bulan akan datang.

Turut dibincangkan ialah kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dan menghulurkan sokongan dan bantuan teknikal sekiranya diperlukan untuk sama-sama menangani isu jerebu rentas sempadan seperti yang pernah dilakukan pada 1998 di Kalimantan dan 2005 di Riau.

Bagaimanapun, NADMA berkata setakat ini tiada permohonan bantuan pemadaman kebakaran di Kalimantan dan Sumatera diterima daripada kerajaan Indonesia. - Bernama