Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 23 Nov 2019
Versi 8.2.2
Sarawak Energy tandatangani MoU dengan Bank Islam dan SJPP
Tarikh : 07 Nov 2019  Sumber Berita: Utusan Borneo
 


2019-11-07T01:00:02+08:00

 Lu (hadapan, dua kiri) menandatangani MoU dengan Ahmad Haliman (hadapan, tengah) dan Azlan (hadapan, dua kanan). TERMETERAI: Lu (hadapan, dua kiri) menandatangani MoU dengan Ahmad Haliman (hadapan, tengah) dan Azlan (hadapan, dua kanan).

KUCHING: Sarawak Energy baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bank Islam dan sebuah agensi milik penuh Kementerian Kewangan iaitu Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Ia diadakan untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan bagi kontraktor tempatan di bawah Sarawak Energy dan Program Pembiayaan Vendor.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Lu Yew Hung menandatangani MoU bagi pihak Sarawak Energy manakala Bank Islam diwakili Ketua Perbankan Komersil Ahmad Haliman Abdul Halim. SJPP pula diwakili Pengurus Besarnya Azlan Mohd Agel.

MoU antara tiga entiti ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan kewangan kontraktor tempatan dengan menyediakan akses yang lebih baik kepada kemudahan pembiayaan.

Sokongan kewangan daripada Bank Islam akan meningkatkan modal kerja kontraktor selain meningkatkan aliran tunai agar mereka layak mengambil bahagian dalam pemerolehan projek pembangunan infrastruktur Sarawak Energy.

Kerjasama ini akan memanfaatkan Skim Jaminan Kerajaan SJPP yang memberi jaminan kredit kepada kontraktor yang layak dan memerlukan penyelesaian alternatif untuk memenuhi keperluan cagaran.

“Dengan kemudahan yang ada untuk mengurangkan beban kewangan mereka, lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (SME) akan mendapat peluang untuk mengendalikan tender projek besar-besaran,” kata Lu semasa menandatangani perjanjian tersebut semalam.

Beliau juga menambah bahawa kedudukan kewangan kukuh kontraktor adalah satu daripada faktor pertimbangan penting semasa penilaian pemerolehan.

“Sejak pelancaran kemudahan kewangan dua bulan lalu, dua kontraktor kami telah diberikan kemudahan itu,” ujar beliau.

Ketua Perbankan Komersial Bank Islam Ahmad Haliman Abdul Halim turut mengakui pentingnya kerjasama berkenaan.

Menurut beliau, Bank Islam bangga apabila dapat bekerjasama dengan Sarawak Energy dan SJPP untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan inovatif untuk membantu kontraktor dalam memenuhi tempoh penghantaran projek mereka.

“Dalam menyokong Program Pembiayaan Vendor Sarawak Energy, Bank Islam telah memperuntukkan RM300 juta di bawah program ini.

“Ia untuk membantu vendor dengan kontrak kecil mendapatkan akses kepada pembiayaan dan seterusnya akan membantu mereka melaksanakan projek-projek yang dianugerahkan Sarawak Energy atau subsidiarinya mengikut jadual,” tambah Ahmad.

Bank Islam dan SJPP juga meluahkan rasa gembira kerana dapat membantu SME dalam pembiayaan dan cagaran mereka, selain menyokong inisiatif Sarawak Energy untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan tempatan dalam kontrak utiliti dan aktiviti perolehan bersepadu.

Turut hadir Ketua Wilayah Bank Islam Malaysia Timur Abdul Malek Abdullah, Pengurus Besar SJPP Juanita Rusmini Abdul Jalil manakala Sarawak Energy diwakili Naib Presiden Kanan Untuk Kontrak dan Perolehan Sulaiman Abdul Hamid, Pengurus Besar Untuk Undang-Undang Stephanie Gae Chin dan ahli pengurusan kanan lain.