Sarawak ID|Register
Polls
Announcements

PERUTUSAN PEGAWAI DAERAH LIMBANG

 

 


 


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

How are you? Apa khabar semua? Apa khabar biskita? Nama berita? Ni hao ma? An berito? Anun bala? Ni eppati irukkiay?

Selamat datang ke Portal Rasmi Pejabat Daerah Limbang dan Pejabat Daerah Kecil Nanga Medamit.

Melalui portal ini adalah diharapkan orang ramai boleh memperolehi pelbagai maklumat yang disediakan berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab Pejabat Daerah Limbang. Maklumat yang boleh diperolehi di antaranya adalah direktori Pejabat Daerah Limbang dan Pejabat Daerah Kecil Nanga Medamit, piagam pelanggan, Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan sebagainya. Pejabat ini sentiasa berusaha untuk memastikan maklumat tersebut dikemaskini pada setiap masa bagi menjamin kesahihan maklumat di samping memberi nilai tambah kepada para pengguna.

Portal ini juga menghimpunkan halaman-halaman utama dari aspek sosia-ekonomi, pelancongan, pertanian dan perindustrian. Ini bertujuan untuk memberi maklumat asas kepada para pengunjung mengenai kegiatan-kegiatan ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan penduduk di daerah Limbang. Adalah diharapkan bukan sekadar pelabur, pemain industri mahupun para pelancong tergamit untuk turut serta terlibat dan datang ke daerah ini untuk bersama-sama membangunkan daerah Limbang.

Informasi berkaitan aktiviti pembangunan di daerah Limbang turut disalurkan melalui portal ini. Orang ramai sebagai pengguna harus peka dengan pembangunan di daerah sendiri. Kesedaran sedemikian secara tidak langsung dapat membantu para pembaca khasnya penduduk Daerah Limbang menikmati kemudahan pembangunan yang disediakan serta peluang-peluang yang boleh disertai dalam pembangunan sosio-ekonomi Daerah Limbang.

Selaras dengan Dasar Kualiti Pejabat Daerah Limbang, iaitu Memberikan Perkhidmatan Yang Berkesan dan Berkualiti Ke Arah Kepuasan Hati Pelanggan, sebarang cadangan, pendapat mahupun kritikan yang diutarakan oleh para pengunjung akan dijadikan aras dan pertimbangan untuk menambahbaik penyampaian perkhidmatan pejabat ini dan juga isi kandungan dalam portal ini.

Akhir kata, adalah diharapkan agar portal ini akan menjadi sumber rujukan dan platform perkongsian ilmu kepada sesiapa sahaja yang melayarinya. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga Pejabat Daerah Limbang yang sentiasa berusaha dan komited dalam menjalankan tugas seharian bagi meningkatkan keberkesanan kualiti penyampaian perkhidmatan sekaligus memenuhi tahap kepuasan pelanggan.

 

Terima kasih

 

Yang Benar,

ENCIK SUPERI BIN AWANG SAID

Pegawai Daerah Limbang,

Sarawak.