picture

News

 

Kesedaran umum mampu mengekang kegiatan penipuan dalam talian

Posted on 19 Jul 2019

2019-07-19T00:30:01+08:00

 

 Dr Annuar menerima cenderamata daripada Rudy (kanan) sambil diperhatikan Suhaili sebaik majlis berakhir semalam.
PENGHARGAAN: Dr Annuar menerima cenderamata daripada Rudy (kanan) sambil diperhatikan Suhaili sebaik majlis berakhir semalam.

SIBU: Kesedaran mengenai penipuan dalam talian harus dipertingkatkan untuk membendung kegiatan tidak bermoral ini.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, orang ramai perlu bijak berfikir agar tidak terperdaya dan menjadi mangsa penipuan dalam talian yang semakin licik dengan taktik penipuan mereka.

Ujarnya, tidak dinafikan penggunaan teknologi komunikasi pada hari ini semakin canggih dan amat berguna kepada semua lapisan masyarakat.

Bagaimanapun sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mungkin menyalahgunakan teknologi itu untuk kepentingan sendiri.

“Kita mestilah memahami bahawa dalam zaman yang serba canggih dan mencabar ini, pelbagai kaedah dilakukan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencari wang dengan cara yang mudah.

“Oleh hal demikian, janganlah dengan mudah memberikan identiti kepada individu yang tidak dikenali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Kempen ‘Staying Safe Online 2019’ di Dewan Suarah Sibu di sini, semalam.

Mengulas kempen ‘Staying Safe Online 2019’ anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang (MITeC), Dr Annuar berkata program itu memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat mengenai penipuan yang wujud dalam media sosial.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka memberitahu, jenayah penipuan dalam talian dan jenayah siber merupakan isu yang semakin hangat diperkatakan serta memberi impak negatif kepada masyarakat.

“Mangsa kehilangan wang serta simpanan mereka sekelip mata kerana terpengaruh dengan tawaran yang diperkenalkan oleh kumpulan penjenayah ini.

“Kumpulan tidak bertanggungjawab ini juga sentiasa menambah baik modus operandi mereka untuk menipu mangsa berdasarkan data terkini,” jelasnya.

Katanya, penipuan atas talian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja daripada golongan profesional sehinggalah kepada kelompok pesara kerajaan, termasuk warga emas dan pelajar.

Di Sarawak sahaja jelas beliau, kes-kes penipuan dalam talian terus meningkat dari tahun ke tahun dan perkara ini amat membimbangkan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Sibu Suhaili Mohammed dan Penolong Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Rudy Beltran Paris.