picture

News

 

Adison Anak Bisaya Pertama Dilantik Sebagai Timbalan Walikota MDL

Posted on 20 Apr 2023
Source of News: UKAS



 

LIMBANG: Pelantikan Kaunselor Adison Langgar Injan sebagai TImbalan Walikota Majlis Daerah Limbang (MDL) bagi sesi 2023 hingga 2025 menandakan detik bersejarah buat etnik Bisaya Sarawak yang kebanyakannya terdapat di daerah Limbang.

Beliau telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis untuk penggal kedua sekali gus menjadi anak Bisaya pertama yang dilantik menggalas tanggungjawab menjadi Timbalan Walikota MDL pada 14 April lepas.

Upacara angkat sumpah tersebut telah disaksikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang.

Kaunselor Adison merupakan anak kepada Ketua Masyarakat Bisaya pertama di Limbang iaitu mendiang Pemanca Injan Yudak.

Dengan latar belakang pendidikan yang tinggi termasuk mempunyai kelulusan Diploma Perguruan, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian)(TESL) serta Sarjana Pengurusan, beliau telah mencurahkan bakti dengan penuh dedikasi selama 40 tahun dalam perkhidmatan awam.

Antara tugasan yang pernah dipikul oleh beliau ialah sebagai guru sekolah menegah, Penolong Kanan serta Guru Besar di peringkat sekolah rendah.

Kewibawaan dan kualiti milik Kaunselor Adison turut terserlah di mana beliau diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Batu Danau mulai tahun 2017 selain berbakti sebagai Pegawai Khas kepada ADUN Batu Danau sejak tahun 2018.

Sementara itu, beliau ketika ditemui bertekad untuk memikul amanah baharu itu dengan penuh komitmen serta memberi perkhidmatan terbaik untuk membantu MDL.   

“Jawatan ini merupakan satu tanggungjawab yang memerlukan dedikasi dan komitmen yang perlu dipikul dan ditunaikan demi kesejahteraan dan kemajuan masyarakat Limbang khasnya dan daerah Limbang amnya,” katanya. -EDISI UKAS