picture

News

 

Al-Quran Sumber Dan Inspirasi Kesepaduan Sains, Pengetahuan Intelektual

Posted on 20 Apr 2023
Source of News: UKAS

LAWAS: Umat Islam harus menjadikan Al-Quran sebagai sumber utama dan inspirasi tentang kesepaduan sains dan pengetahuan intelektual.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kalamullah ini adalah asas bukan hanya bagi agama dan pengetahuan spiritual tetapi bagi semua cabang ilmu pengetahuan.
Katanya, Al-Quran merupakan sumber intelektual dan spiritual Islam yang agung malah kekal releven untuk sepanjang zaman dan tempat.


 


“Islam adalah agama yang amat mementingkan dan menggalakkan umatnya menuntut ilmu.
“Bahkan Al-Quran telah memainkan peranan yang cukup penting dalam pembinaan tamadun Islam agar umatnya terus belajar dan belajar sering menyelidiki sesuatu perkara.”
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak 1444H/2023M di Masjid Besar Darul Ma’mur, Lawas pada Jumaat.

Hadir sama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kehormat yang lain.
Berucap lanjut, Premier Sarawak turut mengajak umat Islam agar menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan untuk menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan berteraskan teknologi.
“Suasana masa kini memerlukan kita memberi tumpuan kepada kuasa siber dan kuasa kognitif atau ‘cyberpower and brain power’ bagi menggerakkan Sarawak ke hadapan.

“Di bawah ekonomi digital, ilmu pengetahuan, kemahiran, rangkaian, inovasi, serta segala cabang ilmu pengetahuan adalah perlu dikuasai kerana teknologi bukan sahaja telah mengubah cara kita bekerja tetapi juga pencapaian dan produktiviti kita.
“Sehubungan itu, Al-Quran hendaklah menjadi panduan dalam setiap bidang ini kerana sudah pasti terdapat petunjuk berkenaan setiap bidang ini sekiranya ia difahami secara mendalam,” ujar beliau.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak merancang pembangunan mengikut acuan sendiri namun dalam masa yang sama memberikan penekanan terhadap pembangunan secara lestari dan perlu selari dengan nilai-nilai Islam sebagai asasnya.
Tegas beliau, sejarah telah membuktikan bahawa umat terdahulu yang maju hampir dalam serba serbinya kerana berpegang kepada ajaran Al-Quran yang dinamik dan mampu untuk menggerakkan masyarakat. – EDISI UKAS