News

 

Simpanan minyak dan gas di daratan Limbang dan Lawas bakal bawa pembangunan menyeluruh

Posted on 11 Sep 2023
Source of News: TVS

Limbang mempunyai potensi sebagai simpanan minyak dan gas. Foto: TVS
 

LIMBANG, 10 Sept: Kajian oleh pakar yang mendapati terdapat simpanan gas dan minyak yang besar di daratan Limbang dan Lawas diyakini bakal melonjakkan pembangunan di sini, kata Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak itu berkata, beliau difahamkan yang simpanan sumber asli itu sangat banyak dan mampu mendorong pembangunan menyeluruh di Sarawak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, proses seterusnya iaitu penerokaan sumber berkenaan sangat dinantikan oleh penduduk kerana akan turut memanfaatkan mereka.

“Ia akan menjadi game changer bagi Limbang, (ini sangat) dinantikan.

“(Oleh itu) saya menyeru kepada penduduk supaya turut serta dalam projek dan kegiatan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Pertandingan Tarik Tali Tertutup Limbang/ Lawas 2023 anjuran Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang (PTTBL) dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Bukit Kota di Kompleks Sukan Limbang semalam.

Sementara itu Abdul Rahman berkata, pelbagai projek pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di Limbang akan siap sepenuhnya pada 2030.

“Projek ini merangkumi rangkaian jalan raya, Projek Tebingan Sungai Limbang dan kegiatan perindustrian yang turut rancak dibangunkan,” katanya. -TVS