Info Daerah Lawas
Pada 3 Januari 1885, Sungai Trusan dan kawasan sekitarnya telah menjadi sebahagian daripada negeri Sarawak iaitu dalam Bahagian Keempat bersama Kidurong (Bintulu) dan Baram. Kubu Florence telah dibina pada tahun 1887 dan nama kubu berkenaan diambil sempena nama isteri Maxwell, pegawai yang menjalankan tugas bagi pihak Rajah pada masa itu. Di sekitar kubu itulah, orang Melayu telah memulakan perkampungan dan telah menarik minat pedagang luar untuk berdagang di sana. Aktiviti perdagangan telah berkembang maju dengan kedatangan pedagang China dari Brunei dan Labuan. Berikutan kepesatan ekonomi, keadaan di Lembah Sungai Lawas didapati lebih aman dan maju di bawah pemerintahan pemimpin yang berwibawa. Pada tahun 1905, Daerah Lawas pada ketika itu telah menjadi daerah baru dalam negeri Sarawak dan telah dijadikan Bahagian Kelima bersama Daerah Limbang dan kemudian dikenali sebagai Bahagian Limbang. Apabila Lawas menjadi daerah baru maka pusat pentadbiran telah dipindahkan dari Trusan Ke Lawas. Trusan kini dikenali sebagai Daerah Kecil. Pejabat Daerah Lawas yang pertama telah dibina di atas bukit dan diterajui oleh Ivone Kirkpatrick. Manakala Residen pertama Bahagian Limbang merupakan mantan Pegawai Daerah Limbang iaitu, O.F Ricketss. Sekarang Daerah Lawas terkandung dalam Bahagian Limbang dengan keluasan tanah seluas 3,034 km persegi.