KUCHING: Penamatan Perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak memberi kesan kepada 507 pekerja dan daripada jumlah itu, 355 atau 70 peratus adalah rakyat Sarawak yang terjejas.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing bagaimanapun berharap pekerja yang terkesan itu dapat memperoleh pekerjaan lain dalam masa singkat.
"Dengan pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi selama bertahun-tahun semasa menguruskan projek itu, adalah diharapkan pekerja yang diberhentikan dapat memperoleh pekerjaan lain dalam masa singkat.
"Ia mungkin termasuk bekerja dengan Perunding Pengurusan Projek (PMC) yang 'dilantik' untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ," katanya ketika membentangkan ucapan penggulungan bagi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan di sini, hari ini.
Masing berkata, Lebuhraya Borneo Utara (LBU) telah mencapai pelbagai pencapaian, antaranya menjadi pemimpin industri dalam digitalisasi pembinaan lebuh raya dan menggunakan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) untuk mereka bentuk dan memantau pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak
Katanya, usaha LBU dalam pendigitalan telah membawa kejayaan dengan memenangi anugerah antarabangsa dan tempatan serta pengiktirafan lain.
Sementara itu, Masing memberitahu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengumumkan bahawa model pelaksanaan bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak akan ditukar kepada model pembangunan konvensional kerajaan pada September 2019.
Menurut Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu, Perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDPA) akan ditamatkan pada 19 Februari tahun depan.
"Peranan PDP iaitu Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) akan diberikan kepada agensi utama Kementerian iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang bertindak bagi pihak KKR," jelasnya
Katanya, penyedia perkhidmatan pengurusan pembinaan atau PMC akan dilantik oleh KKR untuk membantu dalam pengurusan projek.
"Justeru, kementerian saya akan memantau dan terus memberikan sokongan bagi pihak Kerajaan Sarawak," katanya.
Tambah beliau, status pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sudah ditangguhkan.
"Penamatan Perjanjian PDP boleh menjejaskan lagi penyiapan keseluruhan projek," katanya.