News

 

69 peratus projek Inisiatif Transformasi Luar Bandar berjaya disiapkan setakat September

Posted on 13 Nov 2019
Source of News: Utusan Borneo
2019-11-13T11:24:05+08:00
Masing menunjukkan teks ucapan penggulungan bagi kementerian beliau.- Gambar oleh Chimon Upon
Masing menunjukkan teks ucapan penggulungan bagi kementerian beliau.- Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Sebanyak 216 atau 69 peratus projek di bawah Insiatif Transformasi Luar Bandar (RTI) di Sarawak berjaya disiapkan setakat Sepetmber 2019.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata di bawah RTI, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM335.1 juta untuk melaksanakan sebanyak 311 projek berasaskan luar bandar menerusi Bidang Keberhasilan Utama (KRA).

"Setakat September 2019, sebanyak 216 atau 69 peratus projek RTI berjaya disiapkan.

"Antaranya adalah 44 projek sekolah daif luar bandar, klinik daif luar bandar (30 projek), tiga projek jalan, projek tebatan banjir (95) dan projek bekalan air luar bandar (44)," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, peruntukan projek RTI telah melebihi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Tambahnya, ia adalah salah satu inisiatif intervensi negeri untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan di semua kawasan luar bandar.

"Maka itu, Jawatankuasa Kabinet (CabCom) yang dipengerusikan saya, mengenai RTI akan meningkatkan usaha untuk mengenal pasti dan mencadangkan projek baru intervensi luar bandar berasaskan rakyat, yang tidak dirangkumi di bawah mana-mana pembiayaan pembangunan negeri dan persekutuan.

"Dengan semangat "Sarawak Diutamakan", kami akan meneruskan inisiatif sebagai merapatkan jurang yang akan memberi perbezaan kepada gaya hidup komuniti luar bandar," kata Masing.

  • oleh
    Jessica Jawing