picture

News

 

Hanya petani dan pasangan dibenarkan dalam satu kenderaan untuk tuaian hasil tani - Uggah

Posted on 21 Apr 2020
Source of News: Utusan Borneo

2020-04-20T19:02:26+08:00

Uggah pada sidang media harian COVID-19 hari ini. - Gambar ihsan UKAS
Uggah pada sidang media harian COVID-19 hari ini. - Gambar ihsan UKAS

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menafikan membenarkan dua orang berada dalam  kenderaan  melibatkan semua jenis kenderaan. 

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Uggah berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hanya membenarkan petani dan pasangannya berada dalam satu kenderaan.

“Saya sangat kesal apabila pengumuman saya membenarkan petani dan pasangannya dalam satu kenderaan untuk menuai hasil tani mereka dilaporkan sebaliknya. 

“Itu adalah salah faham, jadi saya minta laporkan perkara yang benar kerana jika laporan yang salah boleh timbulkan kekecohan,” katanya yang juga pengerusi JPBNS. 

Tambah Uggah susulan laporan tersebut, beliau menerima pelbagai pesanan daripada warganet yang berbaur marah dan berterima kasih. 

Uggah juga menafikan memberi kebenaran kepada semua kilang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beroperasi di negeri ini. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) katanya akan mengambil tindakan ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu ini terutama dalam krisis pandemik COVID-19 ketika ini.  

Mengenai pemantauan di zon hijau, Uggah berkata pihak kesihatan hari ini menetapkan satu lagi zon hijau di Sarawak iaitu di Mukah menjadikan keseluruhan 27 daerah di Sarawak dikategorikan sebagai zon hijau. 

Bagi memastikan zon hijau kekal hijau, pihak polis katanya akan memastikan tiada pergerakan dari zon merah ke zon hijau. 

“Di Kapit misalnya kita masih lagi belum membuka sebarang aktiviti perniagaan dan permantauan diperketatkan masih memastikan tidak ada pergerakan antara zon merah dengan Kapit. 

“Penduduk di Kapit juga dinasihatkan supaya tidak bergerak ke zon merah bagi memastikan daerah ini kekal sebagai zon hijau,” katanya. 

  • oleh
    Agnes Tugong