picture

News

 

Usul berkaitan hak Sarawak di bawah MA63 perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Perundingan sebelum dibawa ke DUN - Asfia

Posted on 12 May 2020
Source of News: Utusan Borneo

2020-05-11T12:41:00+08:00


Gambar Facebook UKAS

KUCHING: Perkara berkaitan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya boleh dibincang di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Perundingan MA63.

Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata demikian ketika menolak usul persendirian dikemukakan See Chee How (Batu Lintang) pada Persidangan DUN hari ini.

"Ini adalah usul menteri yang dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Dewan (sebelum ini) dan di bawah Perintah Tetap (SO) 89 (DUN) dan Perkara 24(1) Perlembagaan Negeri Sarawak, usul Yang Berhormat (Batu Lintang) terlebih dahulu harus dirujuk kepada Jawatankuasa Perundingan MA63 yang dianggotai ahli-ahi dari parti-parti politik termasuk pembangkang.

"Hanya selepas perkara berkaitan dibincangkan, Jawatankuasa Perundingan harus menasihati DUN dan Dewan akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Oleh itu, usul ini perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Perundingan (MA63) terlebih dahulu sebelum dibawa ke DUN...Dengan itu usul ini ditolak," ujarnya.

See ketika mengemukakan usulnya mahu kerajaan negeri mendedahkan syarat penyelesaian penuh antara Petronas dengan Kerajaan Negeri bagi Cukai Jualan Negeri (SST) apabila syarikat berkenaan bersetuju membayar hutang berjumlah RM2 bilion dalam bentuk SST kepada Sarawak.

Beliau juga meminta DUN mengkaji semula, menilai dan membincangkan syarat-syarat serta konsesi dan mengarahkan kerajaan negeri sekarang, juga pada masa akan datang, melakukan proses undang-undang bagi melindungi hak kedaulatan Sarawak, tanah termasuk sumbernya.

See berkata persetujuan untuk Petronas membayar RM2 bilion bagi menjelas SST ke atas produk-produk petroleumnya bagi tahun 2019, dan SST bagi produk petroleum pada masa akan datang, akan dikurangkan serta dibayar secara berperingkat berdasarkan rundingan masa depan akan memberi kesan kewangan yang merugikan dan membimbangkan kepada Sarawak.

Beliau menambah, ini bermakna konsesi negeri untuk dengan tegas menerima semua perjanjian terdahulu antara kedua-dua pihak di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 masih sah dan boleh dilaksanakan.

Ujarnya lagi, Petronas masih diiktiraf mempunyai kuasa pemilikan dan kawalan penuh ke atas pembangunan minyak dan gas negara seiring dengan Perlembagaan Persekutuan, konsesi dibuat bertentangan dengan keinginan, tuntutan, keputusan dan resolusi DUN serta rakyat Sarawak, suatu yang tidak dapat diterima oleh DUN.

Beliau mengemukakan usul itu selepas Petronas bersetuju membayar hutang RM2 bilion dalam bentuk SST kepada Sarawak.

Kenyataan bersama ditandatangani Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri dan Sarawak dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh pada 8 Mei 2020 berkata kedua-dua pihak bersetuju menggugurkan tindakan undang-undang ke atas satu sama lain.

Selain itu, Sarawak bersetuju mengurangkan kadar SST dilaksanakan ke atas Petronas dari lima peratus (5%) yang dikuatkuasakan sekarang.

  • oleh
    Patricia Gari