picture

News

 

Rentas negeri, daerah di Sarawak dibenarkan mulai esok

Posted on 10 Jun 2020
Source of News: Utusan Borneo

2020-06-09T17:32:09+08:00

 

KUCHING: Semua warganegara Malaysia dibenarkan untuk melakukan perjalanan merentasi negeri ke Sarawak dan merentasi daerah dalam Sarawak berkuat kuasa esok, kata Timbalan Ketua Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu berkata, ia selaras dengan pengumuman kerajaan persekutuan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun hingga 31 Ogos.

"Sebelum ini di Sarawak, rentas daerah perlu mendapatkan kebenaran polis dan begitu juga (rentas) negeri, di mana mereka yang dari Kuala Lumpur ke Kuching perlu mendapatkan kebenaran polis dan jawatankuasa.

"Namun mulai esok, semua warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan boleh ke Sarawak. Begitu juga kalau anda mahu pergi dari Kuching ke Samarahan atau Serian atau tempat lain juga dibenarkan tanpa memerlukan kebenaran," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Uggah berkata bagaimanapun, mereka yang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan perlu mematuhi SOP iaitu diwajibkan untuk memuat naik aplikasi MySejahtera, dan mengisi borang deklarasi kesihatan.

Selain itu, pelawat juga akan diambil sampel PCR secara rambang setelah tiba di pintu masuk utama negeri sama ada melalui udara, darat atau laut) dan dinasihatkan untuk memuat turun COVID Trace Sarawak dan Qmunity.

Menurut Uggah, semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara juga akan dikuarantin wajib selama 14 hari di hotel, di mana kos kuarantin akan ditanggung oleh kerajaan negeri, dan akan diambil sampel COVID-19 pada hari ke-10.

Bagi warga asing yang masuk ke Sarawak dengan permit kerja dan visa sah termasuk peserta Program Malaysia Rumah KeduaKu (MM2H) katanya, mereka juga diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari namun kos kuarantin ditanggung sendiri.

"Semua orang di bawah pengawasan (PUS) sedang dikuarantin di hotel sehingga hari ini, perlu menghabiskan tempoh kuarantin sehingga tamat," katanya.

Setakat hari ini, 2,060 PUS yang masih di 38 buah hotel seluruh Sarawak.

  • oleh
    Jessica Jawing