2020-06-17T15:48:24+08:00
KUCHING: Polis Sarawak berjaya merampas dadah pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan kira-kira RM5.6 juta dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, ACP Jasmirol Jamaluddin berkata dadah jenis ecstasy mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM2,672,210, diikuti syabu (RM2,236,546.50), ketamin (RM545,862), eramin (RM113,120), ganja (RM24,105.20) dan nospan (RM1,536).
"Pada tahun lalu, 2019, nilai keseluruhan rampasan dadah dilakukan oleh polis Sarawak ialah RM7,331,694.50 manakala pada 2018, nilai rampasan adalah RM7,631,863.36.
"Sementara bagi jumlah tangkapan bagi penyalahgunaan dadah di Sarawak bagi Januari hingga Mei tahun ini, ialah 4,009 berbanding 8,506 tangkapan pada tahun 2019," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah hari ini.
Jasmirol juga memberitahu bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, 45 tangkapan dibuat ke atas pesalah dadah berulang di bawah Seksyen 39(C) Akta Dadah Berbahaya 1952 berbanding 56 kes bagi tahun 2019.
Bagaimanapun, ujarnya tangkapan di bawah Seksyen 39(C) di Sarawak setakat ini tidak membabitkan pesalah juvana.
"Pesalah berulang ini adalah mereka yang ditangkap untuk kali ketiga, dimana mereka akan terus dihadap ke mahkamah dan dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun atau maksimum tujuh tahun dengan tiga sebatan," jelasnya.
Hadir sama, Menteri Muda Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap KWKPK Dr Saadiah Abdul Samat, Timbalan Ketua JSJN Sarawak Superintenden Wong Leong Meng dan Pegawai Turus Perlucuthakan Harta JSJN Sarawak DSP Tumar Lunya.