picture

News

 

IPD, PERKEP Limbang Agih Bubur Lambuk Kepada Polis, Orang Ramai

Posted on 12 Apr 2023
Source of News: TVS

LIMBANG,12 April: Tradisi tahunan pada Ramadan diteruskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Limbang dengan memasak dan mengedar bubur lambuk untuk orang ramai di sini.

Pegawai Penyelaras program yang juga Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Limbang, ASP Khairol Ridzuan Ahmad berkata, seramai 97 pegawai dan anggota menyertai program itu yang bermula dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk sejak jam 8.30 pagi.
 

“Sebanyak 500 bungkus bubur lambuk diserahkan kepada pegawai dan anggota. Seterusnya pengagihan kepada orang awam berhampiran kawasan lapang Kampung Bunga Raya bermula jam 2.30 petang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kata Khairol lagi program itu sejajar dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ apabila mereka dapat berkongsi rezeki selain menyatakan keberadaan polis terhadap masyarakat setempat.

 

“Pada masa sama kita juga mengalakkan amalan bersedekah di bulan Ramadan yang mulia ini serta mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam,” ujarnya lagi.

Katanya sebagai anggota yang menjaga keamanan, program berkenaan wadah terbaik dalam memupuk dan menanam sikap kerjasama dalam kalangan warga IPD Limbang.

Pada masa sama, ia dapat mewujudkan rasa kekitaan dan komitmen serta meningkatkan kesefahaman antara semua cawangan dalam usaha mengeratkan silaturahim dalam kalangan IPD Limbang.

Turut sama pada program itu ialah Pengerusi PERKEP IPD Limbang, Ann Minah Giyang, Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang, DSP Liong Tindan dan isteri yang juga Timbalan Pengerusi PERKEP IPD Limbang, Jurawati Bungsu.-TVS