picture

News

 

IAC Mercu Tanda Baharu di Limbang

Posted on 26 Apr 2023
Source of News: TVS


 


LIMBANG, 23 April: Projek Kompleks Kerajaan Negeri (IAC) dianggarkan bernilai RM160 juta yang kini dalam pembinaan bakal menjadi satu lagi mercu tanda baharu di Limbang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, apabila siap nanti, projek itu mampu mengubah wajah dan landskap pembangunan di daerah berkenaan.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu berkata, IAC tersebut akan menempatkan kompleks dan pejabat jabatan-jabatan kerajaan negeri yang baharu, yang ketika ini ditempatkan di bangunan Limbang Plaza.

Katanya, lagi IAC itu nanti akan menjadi Pusat Sehenti dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti teater dan kemudahan untuk mengadakan perjumpaan.

“Kompleks IAC akan menjadi satu kompleks untuk menempatkan beberapa jabatan kerajaan yang ada di Limbang ini, ia boleh menjadi Pusat Sehenti dan mempunyai kemudahan-kemudahan seperti teater dan kemudahan mengadakan perjumpaan.

“IAC akan menjadi satu mercu tanda kita dan ia akan mencetus perkembangan dari segi pembangunan di kawasan sekitar ini.

“Yang lebih penting ialah dengan adanya kompleks ini nanti ia akan dapat mempertingkatkan lagi dari segi perkhidmatan yang kerajaan berikan kepada rakyat itu sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas Rumah Terbuka Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail di Kampung Nauran semalam.

Turut sama ialah isteri beliau Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah.

Sehubungan itu, beliau meminta agar pihak kontraktor yang dilantik untuk kerja-kerja pembinaan dapat menyiapkan projek berkenaan yang amat dinantikan penduduk di utara negeri ini.

Sebelum ini katanya, projek itu mengalami kelewatan susulan pandemik COVID-19 dan berharap ia dapat diteruskan mengikut tempoh yang dijadualkan semula.

“Memang ada tertangguh disebabkan oleh COVID-19, tapi sekarang keadaannya sudah seperti biasa dan kita tidak mahu ia terganggu lagi dan mereka harus menumpukan untuk menyiapkan mengikut jadual yang di jadual semula,” katanya lagi. – TVS