picture

News

 

Waris Durahman Hakim dari Brunei, Limbang Berhimpun Pada Hari Raya Ketiga

Posted on 26 Apr 2023
Source of News: TVS

 

LIMBANG, 25 April: Kira-kira 100 orang waris dan ahli keluarga keturunan Durahman Hakim dari Kampung Kilanas Negara Brunei dan Kampung Batu Bakarang Limbang berhimpun pada Program Ramah Tamah Aidilfitri Jalinan Kasih, pada Hari Raya ketiga di sini pada Isnin.

Pengerusi program, Jamil Durahman berkata, perhimpunan itu bertujuan mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga daripada generasi baharu dari dua negara yang selama ini belum pernah bertemu.

Beliau berkata, program yang memasuki edisi ketiga itu juga dapat mendedahkan generasi baharu keluarga mengenai hubungan persaudaraan antara mereka yang berlainan jalur atau moyang, namun berasal daripada rumpun yang sama.

Katanya, program sehari itu antara lain membabitkan pembentangan salasilah keturunan bertujuan mengeratkan hubungan sanak saudara yang jauh terpisah.

“Syukur sanak saudara dari Kampung Kilanas Brunei dan Kampung Batu Bakarang Limbang bertemu lagi pada sambutan Hari Raya kali ini di Limbang.

“InsyaAllah tahun hadapan kita bercadang untuk mengadakan program sama di Kampung Kilanas Brunei,” katanya kepada pemberita hari ini.

Turut sama ketua rombongan keluarga Kampung Kilanas Brunei, Cikgu Saidin Alim.-TVS