picture

News

 

Premier Sarawak melawat tiga projek pembangunan di Lawas

Posted on 06 Jun 2023
Source of News: TVS

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melakukan lawatan ke tiga tapak projek di sekitar Lawas. Foto: Muqri Aziz (TVS)


 
LAWAS, 27 Mei: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan ke tiga tapak projek yang sedang dibangunkan di Lawas pada Sabtu.

Lawatan dimulakan ke tapak pembinaan projek Jambatan Bandar Lawas Baharu, seterusnya ke tapak projek pembinaan Hospital Lawas baharu dan berakhir di tapak projek Pusat Pentadbiran Bersepadu Lawas.


 


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat model bangunan Pejabat Bersepadu Lawas Baharu. Foto: Muqri Aziz (TVS)

 

Projek pembinaan Jambatan Bandar Lawas baharu yang menghubungkan Pekan Lawas dengan kawasan ladang di seberangnya dijangka siap pada Julai 2025 kelak.
Pembinaan yang menelan kos sebanyak hampir RM149 juta itu kini direkodkan 8.95 peratus siap lebih awal daripada jadual asal iaitu 8.12 peratus pada bulan ini.

Isu-isu kritikal yang dihadapi Pusat Pentadbiran Bersepadu Lawas telah ditangani dan kini pembangunan ditumpukan untuk mendirikan bangunan pusat pentadbiran berkenaan.

Lawatan beliau terakhir adalah di tapak pembinaan Projek Hospital Lawas yang meyaksikan Abang Johari diperdengarkan taklimat berhubung hospital baharu itu dijangka siap dibina pada Disember 2024.

 


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam perbincangan mengenai perkembangan Hospital Lawas Baharu. Foto: Muqri Aziz (TVS)

 

Hospital baharu yang menelan kos sebanyak RM165 juta itu nanti akan memuatkan 75 buah katil untuk bilik wad, wad pediatrik serta wad pergantungan tinggi.

Pada masa sama, hospital baharu itu juga akan dilengkapi dengan Jabatan Kemalangan dan Kecemasan, Unit Hemodialisis, Pembinaan Sut Bersalin dan Operation Theatre, Jabatan Pengimejan, Jabatan Patalogi, Bank Darah dan Bilik Mayat serta Central Sterile Services Department (CSSD), Jabatan Katering dan Pentadbiran dan juga kafeteria.

 
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah serta Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail. – TVS