picture

News

 

Pusat Lun Bawang dibina di Lawas – Henry Sum

Posted on 06 Jun 2023
Source of News: TVS

Dato Henry Sum Agong lengkap dengan pakaian Lun Bawang tiba pada Pesta Irau Aco Lun Bawang Lawas. Foto: TVS

LAWAS, 5 Jun: Pusat Lun Bawang akan dibina di Lawas dengan peruntukan bernilai RM250,000 disalurkan kepada Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS).

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, peruntukan yang beliau salurkan itu adalah fasa awal bagi mendirikan sebuah pusat PLBS bagi menjalankan pelbagai aktiviti termasuk penganjuran Pesta Irau Aco Lun Bawang (Pesta Lun Bawang) pada setiap tahun.

“Kita turut bersyukur kerana kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengabaikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’Kelalan dengan terus menyalurkan peruntukan projek untuk rakyat.
 

“Ini melibatkan pembinaan jalan-jalan kampung, baik pulih gereja, kemudahan pusat ekonomi untuk pengusaha garam dan sebagainya di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Sarawak dahulu,” katanya ketika ditemui media semalam.

Pada perasmian Pesta Lun Bawang Edisi ke-36 semalam, beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM30,000 bagi membantu penganjuran pesta itu pada tahun ini.
 

Beliau turut memberitahu bahawa semua projek pembangunan di Lawas termasuk di Ba’Kelalan adalah hasil usaha keras Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan kerajaan GPS pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk keperluan rakyat.

“Kita ada jalan raya yang menghubungkan Lawas ke Ba’Kelalan dan projek hospital baharu yang sedang dalam pembinaan serta lapangan terbang baharu bersama pelabuhan laut dalam yang akan dilaksana melalui peruntukan kerajaan GPS dan Kerajaan Persekutuan di bawah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Jadi segala usaha ini berterusan di bawah GPS untuk rakyat yang sememangnya memerlukan berbagai kemudahan asas ini.

“Kita perlu tahu bahawa kerajaan kita di Sarawak bermula dengan usaha menentang komunis, penyatuan rakyat, politik pembangunan pada era 80-an dan kini kita terus maju ke arah teknologi digital dan tenaga yang boleh diperbaharui,” ujarnya.
 

Pada masa sama beliau berharap acara pesta seperti Irau Aco Lun Bawang tidak dijadikan medan berpolitik untuk perkauman dan agama.

Sebaliknya acara pesta ini diraikan dengan usaha mempromosi perpaduan semua kaum, budaya dan kehidupan masyarakat Lun Bawang bersama etnik lain.

“Kita tidak boleh mengasingkan diri daripada kelompok majoriti kerana ini akan menjadikan kita jauh ketinggalan.
 

“Ketaksuban terhadap politik tidak akan membawa kita melangkah jauh dan kita perlu menerima hakikat bahawa rakyat Sarawak yang terdiri pelbagai kaum dan etnik menjadikan Sarawak unik serta maju bersama,” jelasnya.-TVS