picture

News

 

Masyarakat Bisaya perlu bersama berjuang capai kemajuan

Posted on 07 Jun 2023
Source of News: Borneo Post

Hasbi (tiga kanan) ditemani Paulus dan Antonio (dari kanan) ketika melepaskan acara lumba kerbau.

 
LIMBANG: Masyarakat Bisaya perlu bersama berjuang mencapai kemajuan serta meningkatkan taraf hidup sekali gus mencapai agenda pembangunan ekonomi baharu  diperkenalkan oleh kepimpinan Sarawak. 
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, generasi kini bertanggungjawab meneruskan agenda membangunkan Sarawak dalam tempoh 60 tahun akan datang.
“Justeru, saya menyeru supaya masyarakat Bisaya bersama berjuang mencapai kemajuan serta meningkatkan taraf hidup seiring dengan agenda pembangunan ekonomi baharu yang diperkenalkan Sarawak,” katanya pada program Nakod Babulang dan Perasmian Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2013 di Kampung Batu Danau, Limbang hari ini.
 
Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Antonio Kahti Galis, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan Presiden Persatuan Bisaya Sarawak Joseph Blandoi.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata, Kerajaan Sarawak menetapkan sasaran sebagai negeri maju menjelang 2030 berteraskan kepada kemakmuran ekonomi, keterlibatan sosial dan kelestarian alam sekitar melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).  
“Kerajaan Sarawak melalui PCDS 2030 berhasrat meningkatkan serta memperkasa ekonomi negeri ini daripada RM136 bilion kepada RM282 bilion menjelang 2030,”jelasnya.
 
Menurutnya, kemakmuran ekonomi dapat dicapai melalui pemantapan aktiviti perniagaan dan memastikan individu menceburi bidang ini mempunyai kesiapsiagaan bagi menghadapi apa juga situasi dan cabaran. 
“Manakala keterangkuman sosial menitikberatkan penglibatan semua pihak dalam menjayakan pelbagai inisiatif kerajaan dan swasta. 
“Kelestarian alam sekitar adalah amat penting bagi memastikan pembangunan dapat diimbangi elemen penjagaan alam sekitar. 
“Saya berharap masyarakat Bisaya terus menyokong kepimpinan kerajaan GPS demi kelangsungan kemajuan pembangunan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan lain-lain,” katanya.
Hasbi berkata, Pesta Babulang dan Lumba Kerbau memainkan peranan penting dalam pemeliharaan adat budaya masyarakat Bisaya. 

“Melalui pesta ini, kita dapat mempertahan warisan adat, budaya, nyanyian, pakaian tradisional, makanan dan bahasa Bisaya kekal dikenali, dipelihara serta terus diamalkan.

"Adat budaya kita adalah aset berharga yang perlu dijaga dan diwariskan kepada generasi akan datang,” jelasnya.
Malah katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) juga mengiktiraf pesta ini dan menyediakan geran sejumlah RM150,000 bagi penganjuran pada 2022.  
“Ini menunjukkan acara ini bukan sahaja megah serta diiktiraf di Sarawak, juga merupakan acara pelancongan penting di peringkat nasional,” katanya.