News

 

Jadikan Limbang destinasi sukan air, Regata Limbang diadakan semula pada 2025

Posted on 11 Jul 2023
Source of News: TVS

LIMBANG, 10 Julai: Regata Limbang yang merupakan acara utama di utara Sarawak dan kepulauan borneo bakal diadakan semula pada 2025 dalam usaha untuk memperkenalkan Limbang sebagai destinasi sukan air utama di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Regata Limbang yang mendapat penyertaan hebat dari negara Brunei, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak itu sendiri merupakan acara yang ditunggu untuk diadakan semula dalam menarik kemasukan pengunjung tempatan dan luar.
 


Pasukan Rajawali Racing Team dari Kampung Baru Kuala Berawan yang menyertai pertandingan. Foto: TVS

 

Jelas Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, regata itu bakal diadakan semula selepas siapnya keseluruhan Projek Tebingan Sungai Limbang yang kini dalam proses pembinaan menjelang 2025.

“Kita memang sekian lama telahpun mengadakan program sukan air di Bahagian Limbang sejak dulu yang kita panggil regata, melalui Pesta Limbang dan Pesta Lawas, yang kita adakan sebelum COVID-19 secara bergilir-gilir.

“Tapi selepas COVID-19 juga pada masa Tebingan Sungai Limbang dan Lawas sedang dalam pembinaan, maka Pesta Limbang ini ditangguh sementara.

“Insya-Allah pada tahun 2025 kita adakan semula Pesta Limbang yang lebih besar termasuk lumba kayuh dan juga lumba bot laju,” katanya ketika ditemui media pada Perasmian Pertandingan Bot Laju anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telahak semalam.
 


Sahdan (lima kiri) menyerahkan cenderamata kepada Datuk Dr Abdul Rahman. Foto: TVS
 

Turut sama ialah Pengerusi JKKK Kampung Telahak, Sahdan Mohidin.

Jelas beliau lagi, selain Regata Limbang, kebanyakan bahagian di Sarawak turut mengadakan regata masing-masing kerana potensinya dalam mengembangkan sektor pelancongan domestik dan kemuncaknya Regata Sarawak.

“Memanglah bagi kita di negeri Sarawak sebab kita banyak sungai dan kebanyakan daerah-daerah berada membangun di tepi sungai, bukan saja Limbang sebenarnya seluruh Sarawak ada pesta air masing-masing dan kemuncaknya adalah Regata Sarawak,” katanya lagi.

Sebanyak 12 acara, membabitkan 30 peserta dari Brunei, Lawas, dan Limbang menyertai pertandingan bot laju itu, lebih 2,000 ribu pengunjung membanjiri Kampung Telahak untuk menyaksikan acara berkenaan.-TVS