News

 

Pelbagai Peruntukan Disalur Untuk Pembangunan Pertanian Daerah Limbang

Posted on 20 Jul 2023
Source of News: UKAS

 

LIMBANG: Pelbagai peruntukan disalurkan kerajaan negeri dan persekutuan bertujuan membangunkan sektor pertanian di Limbang. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, dana telah disalurkan melalui Jabatan Pertanian Daerah Limbang kepada seluruh keluarga petani terutamanya bagi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau ini.

“Melalui Dana Program Fasilitasi Pertanian (AFF) yang bermula pada tahun 2020 hingga pelaksanaannya pada tahun 2023, sejumlah RM1.45 juta telah diperuntukkan bagi tujuan membantu keluarga petani yang mengusahakan projek-projek pertanian. 

“Dana peruntukan tersebut adalah khas kepada peserta projek tanaman nangka, durian musang king, limau kasturi, jagung dan nanas,” katanya semasa Majlis Penutupan Program Agriculture Community Outreach (Agricop) di Kampung Limpasong di sini pada Sabtu. 

Tambah beliau, pada tahun 2023 pula, sejumlah RM129,000 di bawah dana peruntukan persekutuan telah diperuntukkan untuk pembangunan yang sama. 

“Peruntukan ini memberi manfaat kepada keluarga tani yang mengusahakan projek tanaman buah-buahan seperti durian, rambutan dan input pertanian, tambahnya. 

Selain itu katanya, melalui Program Komuniti SCORE 2022, dana dari pihak Nothern Region Development (NRDA) berjumlah RM1 juta juga akan dimanfaatkan oleh 41 orang peserta untuk mempergiatkan lagi projek penanaman berskala besar untuk nanas, jagung dan pisang.

Dalam pada itu tambahnya, pembangunan sedang rancak dilaksanakan pada masa kini di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) hasil pertanian yang telah siap sepenuhnya pada Jun baru-baru ini. 

Justeru, Paulus berharap impak dari projek AFF ini mampu memberi pulangan yang positif dalam meningkatkan hasil pertanian di kawasan Batu Danau. -EDISI UKAS