LAWAS: Umat Islam perlu mengelak perpecahan dengan kembali kepada ajaran sebenar Islam seperti yang terkandung dalam al-Quran, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, al-Quran adalah sumber rujukan terbaik untuk segala penyelesaian masalah, isu dan krisis bagi sekalian umat manusia.
Menurutnya, al-Quran juga menyediakan pelbagai formula penyelesaian dan prinsip tertentu untuk dijadikan asas rujukan mengikut jenis isu dan masalah yang timbul.
“Sebarang perselisihan atau perbezaan yang muncul perlu ditangani dengan segera dan bijaksana tanpa menyebabkan mana-mana pihak terguris atau tersinggung.
“Usaha provokasi yang boleh menimbulkan kekacauan dan ketegangan mesti dijauhi dan dielakkan,” ujarnya pada Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Limbang 2023 di Hotel Seri Malaysia Lawas pada malam Selasa.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Yunus Thambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menjelaskan lagi, al-Quran dan as-Sunnah memberi panduan yang jelas dalam menyediakan formula bagi menghadapi segala masalah yang timbul.
“Dalam soal perpaduan dan hubungan antara sesama manusia, al-Quran telah mempersembahkan satu panduan yang lengkap melalui Surah al-Hujurat iaitu surah ke-49 dalam al-Quran.
“Dalam surah ini, Allah Taala mendidik kita berkaitan akhlak, etika dan adab sama ada kepada Allah SWT, kepada Rasul, sesama umat Islam serta kepada sesama manusia seluruhnya,” katanya.
Malah katanyam jika didalami Surah Al-Hujurat banyak pengajaran dan nilai yang luhur seperti keimanan, kesatuan manusia, panduan menghadapi perbezaan serta perselisihan dan sebagainya.
“Perkara sebegini tidak akan sampai ke pengetahuan kita selaku hamba-Nya jika kita tidak berpegang dengan kitab-Nya iaitu al-Quran.
“Maka, usaha mengadakan Majlis Tilawah Al-Quran ini amat relevan dan perlu diteruskan kerana inti pati ajarannya menjadi panduan serta pedoman dalam kehidupan ini,” ujarnya lagi.
Kata Awang Tengah, dengan perpaduan dan kestabilan yang ada barulah rakyat dapat membangunkan negara Madani iaitu negara yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.
Pada majlis itu johan qari dimenangi oleh Yajudin Ibrahim dari Limbang, manakala Eza Nurumaiza Japaruddin dari Sundar Lawas memenangi kategori johan qariah.