Berita

 

Pasukan tinju Limbang idam emas SUKMA 2024

Disiarkan pada 05 Sep 2023
Sumber Berita: TVS

Jurulatih Pasukan Tinju Limbang Zon Utara, Tony Tuang (kiri) bersama atlet tinju termasuk dua wanita yang dilatihnya. Foto: TVS 

LIMBANG,4 Sept: Pasukan Tinju Limbang Zon Utara bertekad pamer aksi terbaik termasuk meraih pingat emas yang didambakan pada Sukan Malaysia 2024 (SUKMA 2024) yang akan berlangsung di Sarawak tahun depan.

Jurulatih Pasukan Tinju Limbang Zon Utara, Tony Tuang berkata, harapan itu mampu dicapai dengan semangat gigih anak-anak buahnya, selain latihan intensif yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.

Beliau juga optimis anak-anak buahnya mampu mencipta kejutan pada kejohanan itu dengan meraih pingat emas susulan pencapaian membanggakan yang dicapai mereka dengan merangkul 11 pingat termasuk perak dan gangsa sebelum ini.

“Kami akan buat yang lebih terbaik untuk Limbang untuk memburu emas pada SUKMA, di Sarawak tahun depan, walaupun sukan tinju masih baharu di Limbang.

“Saya akan mendidik mereka dan berusaha melakukan yang terbaik untuk mensasarkan emas lagi,” katanya ketika ditemui TVS ketika sesi latihan di Gelanggang Tinju, Dewan Suarah Limbang hari ini.

Beliau berkata, pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 yang diadakan di Stadium Tertutup Simanggang Sri Aman pada 20 hingga 26 Ogos lalu, atlet tinjunya berjaya merangkul dua perak dan tiga gangsa.

Manakala pada Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan 2023 di Dataran Kubah Ria Kuching pada 6 hingga 11 Mac lepas, anak-anak buahnya turut menyumbang dua perak dan dua gangsa untuk Limbang.

Beliau yang menerajui sukan tinju di Limbang sebagai jurulatih sejak dua tahun lalu menjelaskan pencapaian yang ditunjukkan tujuh atlet di bawah bimbingannya menunjukkan peningkatan ketara dan semangat juang yang tinggi.

Tony juga berharap lebih ramai atlet muda dapat diasah bakatnya dalam sukan tinju di Limbang sekali gus melahirkan atlet tinju yang berkebolehan untuk diketengahkan mewakili Limbang, Sarawak hingga ke peringkat kebangsaan.-TVS