News

 

Kembara Kenali Borneo: Agong dan Permaisuri berangkat tiba di Lawas

Posted on 08 Sep 2023
Source of News: TVS



Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah disambut meriah sejurus berangkat tiba di Lawas, malam ini. Foto: Bernama


LAWAS, 7 Sept: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Lawas pada 8 malam ini.

Keberangkatan tiba Agong dan Permaisuri serta rombongan di Tebingan Sungai Lawas disambut Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Dari Sabah, kembara berkenaan turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ribuan warga Lawas turut memeriahkan keberangkatan tiba baginda serta rombongan dengan bersalaman dan merakamkan gambar kenangan.

Saat-saat ini sudah pasti menjadi peristiwa bersejarah dan kenangan indah bagi penduduk Lawas kerana berpeluang beramah mesra dengan keluarga diraja.

Penduduk di Lawas sudah menanti seawal 2 petang untuk menyaksikan sendiri dengan lebih dekat Al-Sultan Abdullah yang amat disayangi rakyat jelata.

Sebaik tiba di Lawas, Al-Sultan Abdullah dan rombongan disambut dengan tarian aluan dipersembahkan masyarakat berbagai etnik yang terdiri daripada Melayu, Kedayan, Lun Bawang, Tagal, Cina dan Iban.

Baginda turut menerima plak cenderamata daripada warga Lawas dan menikmati jamuan sambil menikmati keindahan Tebingan Sungai Lawas.

Kembara Kenali Borneo memulakan pengembaraan di Bumi Kenyalang menerusi pintu masuk Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Merapok, Lawas selepas secara rasmi mengakhiri program berkenaan di Sabah sejauh kira-kira 900 kilometer (km) sejak 3 September lepas.

Daerah Lawas yang berkeluasan 3,812 km persegi dengan jumlah penduduk seramai 46,200 orang menjadi tumpuan apabila menjadi lokasi pertama di negeri ini yang dilalui konvoi Kembara Kenali Borneo.

Terdahulu baginda dan rombongan singgah solat Maghrib di Masjid Sahabat Sindumin Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke Lawas.

Selepas Lawas, baginda dan rombongan meneruskan perjalanan ke negara Brunei Darussalam menelusuri Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (SHOAS).

Kembara Kenali Borneo di Sarawak bermula 7 hingga 13 September bermula Lawas dan dijadual berakhir di Telok Melano sejauh 1,198 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo merangkumi lapan daerah di Sarawak. – TVS