picture

News

 

Majlis Daerah Limbang Terus Relevan Menjalankan Peranannya

Posted on 11 Oct 2023
Source of News: UKAS

 

ISNIN, 9 OKTOBER 2023

LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) terus relevan dalam menjalankan peranannya yang semakin kompleks dan mencabar dalam menjaga dan menyelenggara bandar dan kampung-kampung di daerah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, MDL juga berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam mengekalkan persekitaran yang kondusif dan bersih di bandar ini.
 


 

“Ini kerja-kerja yang sangat mencabar dan kita berterima kasih kepada Majlis Daerah Limbang sebab bandar Limbang antara bandar yang terbersih di Sarawak.

“Kita mohon kerjasama dari masyarakat untuk sama-sama membantu sebab antara kekuatan kita di Limbang adalah pelancongan serta ramai pengunjung yang datang dari Brunei Darussalam, Sabah dan juga Labuan,” katanya semasa berucap sempena Malam Kebudayaan Pesta Hari Bukit Mas 2023 bertempat di Amphitheater Tebingan Sungai Limbang pada Sabtu.
 


 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah menjelaskan kebersihan bandar dan kampung-kampung ini amat penting dalam menarik kemasukan pengunjung ke daerah berkenaan selain tugas menyelenggara kemudahan dan prasarana awam yang ada.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman menjelaskan Limbang mempunyai kekuatan dan keunikan dari aspek budaya, aktiviti lasak, alam semula jadi dan makanan (CANF) dalam menarik kemasukan pengunjung luar ke daerah berkenaan.

Menurutnya, kepelbagaian suku etnik yang terdapat di Limbang, program lasak seperti tarik kalat antarabangsa, keindahan Gunung Buda dan kepelbagaian makanan dan produk tempatan menjadikan daerah ini amat unik di mata pengunjung luar.
 


 

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Walikota MDL Kaunselor Sufian Mohat, Setiausaha Majlis Daerah Limbang Petrick Linggie Taboh dan Timbalan Pengerusi Pengelola Hari Bukit Mas 2023 Kaunselor Niti Rosli. – EDISI UKAS