picture

News

 

Projek pelabuhan laut dalam Lawas tarik pelabur dari China – Henry Sum

Posted on 02 Nov 2023
Source of News: TVS

LAWAS, 29 Okt: Projek pelabuhan laut dalam di Pulau Sari menerima maklum balas pelabur dari China yang berminat untuk terlibat dengan aktiviti perkapalan di situ.

Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong berkata, setakat ini syarikat perkapalan dari China dijangka akan beroperasi berdekatan dengan pulau berkenaan.

Kata beliau, pembinaan pelabuhan itu turut memberi peluang mengangkut barangan yang tidak dapat dibawa melalui penerbangan seperti simen, besi dan peralatan konkrit lain.

“(Projek) pelabuhan ini akan dilaksanakan secepat mungkin memandangkan sudah terdapat pelabur dari China.

“Pembinaan pelabuhan laut dalam ini dijangka boleh mengubah landskap ekonomi setempat dalam seterusnya memacu pembangunan Lawas,” katanya.
 


Henry Sum beramah mesra dengan peserta Liga Lawas 2023. Foto: TVS
 

Beliau berkata demikian kepada TVS selepas hadir menyaksikan final Liga Lawas 2023 (BLX) di Kompleks Sukan Lawas petang semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran Sarawak, Datu Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili dan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa.

Sementara itu, Henry Sum memaklumkan, projek pelabuhan laut dalam itu merupakan antara projek mega yang diluluskan kerajaan selain projek Lapangan Terbang Lawas yang baharu.

“Projek lapangan terbang sedang menunggu pelaksanaan,” katanya. -TVS