News

 

Program Sejambak Kasih Bukti Kerajaan Jaga Kebajikan Semua Kaum

Posted on 25 Jan 2024
Source of News: UKAS

images

LAWAS: Program Sejambak Kasih melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) adalah bukti Kerajaan Sarawak terus berusaha untuk menjaga rakyatnya dengan menyalurkan pelbagai bantuan tanpa mengira bangsa dan agama. 

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, selain Tahun Baru Cina, program ini juga diadakan pada Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak, Krismas dan Deepavali.

“Jadi ini menunjukkan inklusiviti, kita tidak pinggirkan mana-mana kaum.

“Penerima bantuan kita terdiri daripada berbilang bangsa, ini adalah keindahan Sarawak,” katanya semasa berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina 2024 di sini pada Selasa.

Dato Sri Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menambah, hal ini adalah sangat penting bagi Sarawak kerana ianya penyumbang utama kepada perpaduan dan keamanan di antara kaum di negeri ini. 

“Ini adalah sangat penting bagi kita terutama sekali kita di Sarawak, keamanan itu sangat penting supaya kita di pihak kerajaan dapat memberi fokus untuk membangunkan negeri Sarawak ini untuk maju dan makmur pada 2030,” jelasnya.

Seramai 200 penerima daripada golongan yang memerlukan telah dikenalpasti oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang untuk program ini yang telah menerima peruntukan sebanyak RM26,960 secara keseluruhan. 

106 penerima telah dijemput bagi menghadiri majlis ini, manakala 94 orang lagi akan menerima bantuan melalui akaun bank masing-masing. 

Dato Sri Fatimah berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban serta menggembirakan penerima menjelang musim perayaan utama bangsa Cina ini. 

Hadir sama Wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Sarawak Rosni Ismawi, Pemangku Residen Bahagian Limbang Aspalila, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Kebajikan Bahagian Limbang Wan Muhammad Hasif Wan Jamari dan Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan. -EDISI UKAS