picture

News

 

Kilang Pemprosesan Keju Kerbau Di Lawas Bakal Siap Pada November

Posted on 16 Feb 2024
Source of News: UKAS



KHAMIS, 15 FEBRUARI 2024

LAWAS: Kilang pemprosesan keju kerbau di Stesen Penternakan Kerbau Meragang Lawas bakal siap sepenuhnya pada November ini.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail memberitahu, pembinaan kilang kini mendahului jadual dengan 17 peratus dan dijadualkan disiapkan pada Oktober atau November ini.

“Kilang ini yang bernilai RM13 juta akan memproses keju kerbau yang menjadi pembekal kepada pasaran tempatan dan juga akan dieksport untuk pasaran luar negara.

“Ini akan meningkatkan jumlah pengeluaran keju di Malaysia bagi memenuhi permintaan dalam negara,” jelasnya. 

Menurutnya, kilang itu menyasar menternak sebanyak 30,000 ekor kerbau menjelang tahun 2030 dan jumlah kerbau telah bertambah dari 17,000 ekor.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan kerja ke Stesen Penternakan Kerbau Meragang di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, Lawas mampu dibangunkan sebagai pintu masuk pelancongan di kawasan utara Sarawak.

“Kawasan ini seumpama New Zealand di Sarawak dengan keadaan muka bumi yang cantik dan dikelilingi tanah tinggi dan beberapa air terjun,” ujarnya.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pengarah NRDA Dato Ubaidillah Abdul Latif. -EDISI UKAS