picture

News

 

Kawasan DUN Bukit Kota Terus Dibangunkan

Posted on 16 Feb 2024
Source of News: UKAS


JUMAAT, 16 FEBRUARI 2024

LIMBANG: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota akan terus dibangunkan bagi keselesaan masyarakatnya.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail memberitahu, pelbagai projek sedang dirancang dan dalam pembinaan di konstituensi tersebut.

Menurutnya, antaranya ialah pelaksanaan projek pembinaan kemudahan seperti dewan, gelanggang futsal dan surau di Kampung Tegarai sedang dijalankan.

“Kita juga melihat keperluan untuk persediaan Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2024 yang pada Ogos depan, jadi banyak keperluan telah dipohon oleh Ketua Kampung Tegarai.

“Dalam hal ini, kita telah memperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan yang dipohon itu kerana pesta tersebut merupakan antara acara yang mendapat sambutan di bawah Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke tapak projek RTP dan tapak Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2024 di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau yakin menjelang tahun 2025 kemudahan awam di kampung-kampung sekitar Daerah Limbang akan lengkap bagi keselesaan penduduk.

“Projek-projek mega termasuk Projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR), Projek Trans Borneo dan Projek Lebuhraya Pantai Utara pula dijangka siap menjelang tahun 2030 dan bagi kita di kawasan DUN Bukit Kota dan juga di Daerah Limbang,” ujarnya.

Katanya lagi, pelaksanaan projek-projek tersebut akan mengubah masa depan penduduk 

Turut hadir ialah wakil Residen Bahagian Limbang Mohd Zainal Udin dan wakil Pegawai Daerah Limbang Mohamad Sobree. -EDISI UKAS