News

 

Perpaduan Rakyat Faktor Kemajuan Di Sarawak

Posted on 20 Feb 2024
Source of News: UKAS


 

ISNIN, 19 FEBRUARI 2024

LAWAS: Perpaduan dalam kalangan masyarakat pemangkin kepada pembangunan di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Kerajaan kini turut memfokuskan ke arah usaha untuk membangunkan Sarawak termasuklah membina kemudahan di kawasan luar bandar seperti jalan raya, elektrik, air pendidikan, kemudahan darat, laut serta udara dan banyak lagi untuk dimanfaatkan oleh rakyat di Sarawak.

“Hari ini dunia sudah jauh berubah dari segi perkembangan ekonomi dan kita harus faham apa itu digital ekonomi, ekonomi baru dan inilah perubahan yang patut kita ikuti.

“Asasnya ialah kita mesti mempunyai pendidikan di mana kita perlu meningkatkan lagi kepakaran kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2024 anjuran Persatuan-Persatuan Cina Lawas pada Ahad. 

Jelasnya, pelbagai kemudahan disediakan di Lawas termasuklah dari aspek pendidikan seperti institusi kemahiran seperti Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan banyak lagi pembangunan yang difokuskan oleh Kerajaan untuk memajukan kawasan itu.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menambah, dengan adanya infrastruktur asas akan menarik lebih ramai lagi pelabur dari dalam dan luar negara serta memberi manfaat kepada rakyat untuk mendapat kehidupan yang lebih baik menerusi sumber yang ada.

Turut hadir isteri Datuk Amar Awang Tengah, Datin Amar Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidillah Abdul Latip, Pengerusi Pengelola Woo Min Sen dan Pemanca Tan Yong Hing. -EDISI UKAS