JUMAAT, 23 FEBRUARI 2024
LAWAS : Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong telah menyerahkan sumbangan geran daripada Kerajaan Sarawak kepada seramai 150 individu di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lawas, pada Khamis.
Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Dato Henry bersama dengan Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas Rohana Tuah serta Pegawai Imigresen Lawas Affendi Ahmad.
Menurut Dato Henry, ini merupakan sumbangan yang pertama untuk tahun ini daripada kerajaan.
“Syukur kita kerajaan pusat dan negeri terus memberi sumbangan kepada kita seperti sumbangan geran kerajaan ini. Tujuan kita hari ini untuk membantu apa yang diperlukan.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan di Lawas yang selama ini bekerja keras yang berkhidmat dan membantu masyarakat Lawas dan semoga kita akan terus maju.
“Semoga Lawas terus maju dan seiring dengan situasi semasa dan kita harus bersama dalam perjuangan ini untuk mencapai cita-cita kita semua,” ujarnya.
Sejurus selepas itu, Dato Henry turut berkesempatan melawat ke lokasi kebakaran di Banting, Jalan Kuala Lawas.
Lawatan itu bertujuan memberi sokongan dan semangat kepada para anggota bomba yang bertugas beberapa hari ini untuk mengawal kebakaran tanah gambut kawasan Banting dari terus merebak.
Kedatangan Dato Henry di situ telah disambut para Anggota Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.
Beliau kemudiannya diberi taklimat berkenaan maklumat kawasan kebakaran serta proses pemadaman kebakaran yang telah dilakukan sepanjang empat hari kebakaran berlaku.-EDISI UKAS