picture

News

 

Limbang tuan rumah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak

Posted on 04 Mar 2024
Source of News: TVS



Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menunjukkan poster Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak semasa sidang media, hari ini. Foto TVS


KUCHING, 3 Mac

Limbang akan menjadi tuan rumah penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak kali ke-63, Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 6 Mac hingga 9 Mac ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan Sarawak dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak berbesar hati mengadakan majlis berkenaan di Dewan Suarah Limbang dengan tema ‘Sarawak Maju Makmur’.

“Seramai 45 orang peserta akan menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran. Bagi kategori Tilawah Al-Quran ia melibatkan 21 peserta yang terdiri daripada qari 12 orang manakala qariah sembilan orang.

“Manakala bagi kategori Menghafaz Al-Quran ia melibatkan 24 peserta yang terdiri daripada 15 peserta hafazan kategori lelaki manakala sembilan peserta hafazan kategori wanita,” katanya semasa sidang media Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak ke-63 di sini, hari ini.

Tambah Awang Tengah, penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran ini adalah bagi menyemarakkan semangat cinta umat Islam kepada al-Quran dan sebagai usaha melahirkan lebih ramai qari, qariah, hafiz dan hafizah yang berkaliber di Sarawak.

“Kita sudah setuju untuk Tilawah Al-Quran, johan akan menerima RM10,000, naib johan RM7000, tempat ketiga RM5,000 dan sagu hati RM1,500.

“Di samping itu, untuk hafazan al-Quran kategori 1-30 juzuk ini adalah untuk peringkat negeri, johan akan menerima hadiah RM5,000, naib johan RM3,000, ketiga RM2,000 dan sagu hati RM500,” ujarnya.

Majlis Tilawah Al-Quran pada 6 Mac akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg manakala perasmian Majlis Menghafaz Al-Quran pada 7 Mac akan dirasmikan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijadual menyempurnakan majlis penyampaian hadiah pada 9 Mac.