picture

News

 

Abang Johari pengerusikan mesyuarat SDCCM di Limbang

Posted on 08 Mar 2024
Source of News: TVS

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri Sarawak (SDCCM) di sebuah hotel di sini, hari ini. Foto Awang Azmil (TVS)
 

LIMBANG, 6 Mac

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri Sarawak (SDCCM) Bil 1. 2024 di sebuah hotel di sini.

Mesyuarat itu yang bermula pada jam 11.30 pagi disertai barisan kabinet Kerajaan Sarawak,antaranya ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi serta Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai.

Difahamkan, beberapa kementerian dan agensi telah membuat pembentangan mengenai perkembangan pelaksanaan projek khususnya di Limbang pada mesyuarat itu.

Antaranya ialah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) serta Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Usai mesyuarat, Abang Johari dijadual mengadakan lawatan di empat tapak projek di sekitar Limbang masing-masing di Jambatan Sungai Limbang Sungai Bunut No 2, Rumah Mampu Milik (RMM) Rangau, Projek Kompleks Kerajaan Negeri (IAC) dan tapak projek Tebingan Sungai Limbang.

Sementara pada sebelah malam, Abang Johari dijadual menghadiri Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di sini. – TVS