LIMBANG, 7 Mac
Peserta muda di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran kali ke-63 di Dewan Suarah Limbang menzahirkan keterujaan masing-masing berikutan pertandingan itu disifatkan sebagai platform untuk memperbaiki bacaan Al-Quran mereka.
Rata-rata peserta yang ditemui menyifatkan pertandingan tersebut dapat meningkatkan kefahaman serta kemahiran membaca dan menghafaz Al Quran dengan baik.
Menurut peserta dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak Samarahan, Ahmad Ismail Zubir ,19, pertandingan berprestij itu memantapkan bacaan Al-Quran mereka.
Pada masa yang sama, anak jati Kelantan itu berjaya menjejakan kaki di Limbang yang menjadi tuan rumah pertandingan itu untuk kali ke-63 telah memberikan pengalaman manis untuknya.
“ Saya dapat mengukuhkan lagi hafazan saya untuk muroja’ah mengulangkaji bacaan al Quran tu supaya lebih kemas.
“Ini juga satu pengalaman baru apabila saya dapat datang ke Limbang ni saya rasa terujakerana meneroka tempat lain di Sarawak,”katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Menghafaz Al Quran kali ke-63 di Dewan Suarah hari ini.
manakala, peserta wanita muda, Siti Asma’ Adenan, 19, dari Samarahan menyatakan kalah atau menang merupakan adat pertandingan namun kebolehan mereka mendalami bacaan dan kandungan Al-Quran menjadi keutamaan masing-masing.
Pelajar SMK Agama Putrajaya itu turut mengakui berdepan dengan persaingan sengit kali ini selain berusaha melakukan perdsiapan rapi dengan mempelajari cara bacaan dengan betul terutama juzuk 1 hingga 10.
“Saya rasa sedikit berdebarlah masuk pertandingan hafazan, tetapi sebenarnya bersyukur sebab terpilih untuk menjadi peserta hafazan Peringkat Negeri Sarawak tahun ini.
“Pertandingan hafazan ini boleh melahirkan lebih ramai hafiz dan hafizah, qori serta qoriah di luar sana,”ujarnya lagi.
Manakala bagi pensyarah yang juga Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral IPGM Kampus Batu Lintang, Rusliza Othman mendedahkan seramai empat pelajarnya terpilih menyertai ketiga kategori hafazan yang dipertandingkan iaitu kategori juzuk satu hingga 10, juzuk satu hingga 20 dan juzuk satu hingga 30.
“Kami berasa sangat bertuah kerana pertandingan ini dapat menarik peserta muda, terutamanya anak-anak daripada IPG Malaysia Kampus Batu Lintang kerana diberi peluang untuk menyertai peringkat saringan dan penyertaan tersebut telah dilaksanakan pada 8 Januari lepas.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Datu Khalidi Ibrahim dan Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal. -TVS