News

 

Limbang berpotensi usahakan pengeluaran padi – Abang Johari

Posted on 08 Mar 2024
Source of News: TVS

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kota 2 Mini Hydro, di sini, hari ini. Foto Awang Azmil (TVS)
 
 
LAWAS 7 Mac

Faktor geografi Limbang membolehkan Bahagian itu diusahakan sebagai satu lagi kawasan pengeluaran padi di negeri ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, Lembah Limbang menjadi komponen penting dengan ia diyakini membantu memudahkan penanaman padi di Bahagian itu menerusi penggunaan teknologi baharu.

“Lembah Limbang dikenal pasti untuk kita hasilkan padi dengan penggunaan teknologi baharu yang telah saya buktikan di kawasan yang saya wakili dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Dalam tempoh 24 bulan kita boleh melakukan penanaman padi sebanyak lima musim dengan hasil bermula 1.2 tan sehingga lapan tan per hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Kota 2 Mini Hydro, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, hasil congakan pihaknya dan UPM, pesawah mampu meraih pendapatan RM6,400 setiap bulan sekiranya hasil yang diraih sebanyak lapan tan per hektar.

Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatan kerjanya ke Stesen Mini Hidro Kota 2, Abang Johari berkata, sumber tenaga melata yang dijana dari stesen itu adalah selamat dan tidak menjejaskan alam sekitar dan kediaman.

Malah katanya empangan hidro melata turut mematuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Kesatuan Eropah. – TVS