picture

News

 

Premier Sarawak Turun Padang Lawat Tiga Tapak Projek Pembangunan Di Limbang

Posted on 08 Mar 2024
Source of News: UKAS

 

RABU, 6 MAC 2024

LIMBANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg melakukan lawatan turun padang ke tiga tapak projek pembangunan kerajaan Sarawak di sini, pada petang Rabu.

Tapak pertama yang dilawati ialah projek cadangan pembinaan dan penyiapan Jambatan Sungai Limbang, Jambatan Sungai Bunut No 2 dan Jalan Penghubung Bahagian Limbang yang direkodkan 70.57 peratus siap setakat Februari 2024.

Berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, projek berjumlah RM187.62 juta ini dijangka siap pada 24 November 2025.

Seterusnya, Datuk Patinggi Abang Zohari bergerak ke tapak kedua iaitu projek pembinaan dan penyiapan Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang yang kini masih 34 peratus pelaksanaannya.

Menurut JKR Sarawak, projek yang menelan kos sebanyak RM157.28 juta ini dijangka siap pada 11 Februari 2025.

Sejurus selepas itu, lawatan Premier Sarawak diteruskan ke tapak projek cadangan menaik taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 2-Pakej 2 dan Fasa 3.

Menerusi taklimat yang disampaikan oleh Majlis Daerah Limbang (MDL), setakat 5 Mac 2024, projek Fasa 2-Pakej 2 berkeluasan 0.28 kilometer yang melibatkan pembinaan ‘Planter Box’, tempat parkir ‘Food Truck’, Gazebo, Esplanade Walk Way dan gerai-gerai makanan itu telah mencapai 88.05 peratus siap.

Manakala Fasa 3 melibatkan kerja-kerja pembinaan Bangunan Tamu Limbang, ‘Lock-Up Shop’, membaik pulih jeti, gerai-gerai dan jambatan pejalan kaki pula mencatat 71.77 peratus pelaksanaannya.

Kedua-duanya projek ini dijangka siap pada 19 September 2024.

Mengiringi beliau sepanjang lawatan itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman dan Residen Bahagian Limbang Unus Tambi.-Edisi UKAS