KHAMIS, 7 MAC 2024
LIMBANG: Akal fikiran merupakan salah satu nikmat dan rahmat kurniaan terbesar Allah SWT kepada makhluk-Nya yang bernama manusia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, manusia perlu menggunakan akal secara bijak untuk mencari penyelesaian yang efektif dan inovatif dalam mengatasi cabaran menuju era baharu.
Menurut beliau, firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, terdapat tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi orang-orang yang berakal” (Surah Ali ‘Imran ayat 190), jelas menuntut manusia untuk menggunakan akal dengan sebaiknya.
“Ini sepotong ayat dalam Al-Quran yang memberi banyak maksud khususnya kepada kita yang beragama Islam untuk kita menggunakan akal dalam melihat kejadian-kejadian yang kita hadapi pada masa ini.
“Kita tinggal dalam satu suasana yang agak mencabar dan era di mana banyak perubahan-perubahan berlaku di negeri ini seperti; keadaannya yang begitu panas sehingga tidak membawa keselesaan kepada manusia dan banyak sektor-sektor kehidupan terjejas. Ini adalah satu cabaran bagi kita menggunakan akal kita untuk mencari penyelesaian.
“Sebab itu, kerajaan Sarawak menuju ke arah era yang baharu untuk menyelesaikan masalah terlalu panas disebabkan oleh karbon dan kita membangun ke arah ekonomi hijau dengan mengeluarkan tenaga-tenaga hijau,”jelasnya.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Kali ke-63 Peringkat Sarawak Tahun 2024M/1445H yang membuka tirainya selama empat hari di Dewan Suarah Limbang bermula Rabu.
Turut hadir ialah isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Datu Khalidi Ibrahim dan Residen Bahagian Limbang Unus Tambi.
Majlis ini akan menyaksikan 12 peserta Qari dan sembilan peserta Qariah berentap untuk merebut gelaran Johan bagi Tilawah Al-Quran.
Manakala, bagi Menghafaz Al-Quran pula, masing-masing lima peserta Qari dan Qariah akan berentap untuk kategori Juzuk 1-10, lima peserta Qari dan empat peserta Qariah untuk kategori Juzuk 1-20 dan lima peserta Qari untuk kategori Juzuk 1-30.
Keputusan pertandingan akan diumumkan pada hari terakhir majlis berkenaan, dan dijangka bakal disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Untuk rekod, Limbang dipilih sebagai tuan rumah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak pada tahun ini melalui keputusan Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Sarawak.
Pengelolaan kali ini adalah kali keenam Sarawak menganjurkan Tilawah dan Hafazan Al-Quran secara serentak. -Edisi UKAS