picture

News

 

SEB Terokai Potensi Sumber Tenaga Melata

Posted on 08 Mar 2024
Source of News: UKAS

 

KHAMIS, 7 MAC 2024

LAWAS: Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang meneroka potensi sumber tenaga melata (Cascading Power Sources) untuk meneruskan pembangunan tenaga mampan di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili berkata usaha ini sedang digerakkan melalui pembinaan beberapa stesen hidro di sungai.

Jelas beliau, Jelas beliau, pendekatan ini telah pun dicontohi oleh beberapa projek SEB termasuk Kota 2 dan Kota 1 serta Empangan Hidro Murum dan Bakun.

“Sumber tenaga melata ini akan membolehkan SEB memaksimumkan penggunaan sistem sungai untuk penjanaan kuasa hidroelektrik yang mampan, memberikan faedah utama seperti kecekapan pengeluaran tenaga yang dipertingkatkan dan mengurangkan kesan alam sekitar.”

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan aluannya sempena Lawatan Kerja Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ke Stesen Mini Janakuasa Hidroelektrik (HEP) Kota 2 di Lawas pada Khamis.

Dedahnya lagi, Stesen Mini HEP Kota 2 yang berkapasiti 10.5 MegaWatt (MW) menjana tenaga mampan kepada seluruh daerah Lawas.

Katanya, stesen tersebut membolehkan SEB menampung keperluan tenaga terkini dan di masa akan datang sambil mempromosi tenaga mampan dan diperbaharui.

Malah jelasnya ia selari dengan fokus SEB untuk mewujudkan tenaga mampan dan hijau.

“Dengan menyambung Stesen Mini HEP Kota 2 kepada grid akan mempelbagaikan portfolio tenaga Sarawak serta memudahkan sambungan bekalan elektrik mampan selain mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

“HEP Kota 2 penting dalam penerokaan kita terhadap sumber tenaga melata, menyediakan penyelesaian sementara penting sehingga daerah Lawas disambungkan kepada grid elektrik utama Sarawak. 

“Dengan beban elektrik puncak daerah pada 14MW dan pertumbuhan permintaan tahunan sebanyak 5 peratus didorong oleh pembangunan berterusan, keperluan untuk penyelesaian tenaga yang teguh dan mampan adalah jelas,” ucapnya lagi.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar serta dif-dif kenamaan lain.

Terdahulu pihak SEB telah mengadakan taklimat kepada Premier Sarawak dan tetamu kehormat lain disusuli dengan sesi soal jawab.

Premier Sarawak sambil diiringi dif-dif kenamaan lain kemudiannya meninjau sekitar Stesen Mini HEP Kota 2 sebelum bertolak pulang. – EDISI UKAS