picture

News

 

Kerajaan Sarawak Sasar Tanam 35 Juta Pokok Menjelang Tahun 2025

Posted on 11 Mar 2024
Source of News: UKAS



AHAD, 10 MAC 2024

LIMBANG: Kerajaan Sarawak menyasar menanam sebanyak 35 juta pokok di seluruh negeri menjelang tahun 2025.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, jumlah tersebut merupakan peranan Sarawak dalam membantu Malaysia menanam sebanyak 100 juta pokok menjelang tahun 2025. 

“Ini juga adalah sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, di mana kita menekankan kepada peningkatan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Apa yang kita lakukan adalah untuk menyokong Program Penghijauan Malaysia dan di Sarawak nama program ini ialah ‘Greening Sarawak: Towards Greener Generation’,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Majlis Perasmian Program Limbang Arbor Day 2024 di sini pada Sabtu. 

Menurutnya, setakat Sabtu ini kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah pun berjaya menanam sebanyak 32,477,007 pokok. 

“Penanaman pokok pada hari ini dan sejak lima hari bulan yang lepas akan meningkatkan lagi jumlah penanaman pokok di Sarawak di mana melalui program penanaman pokok yang dibuat sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Sarawak kita telah menerima sumbangan sebanyak 1000 pokok,” ujarnya.

Datuk Amar Awang Tengah menambah, objektif program ini ialah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya pemuliharaan alam sekitar dan peranan pokok dalam menjaga keseimbangan ekosistem kita. 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Hasbibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat. -EDISI UKAS