News

 

Kaji ‘Projek Limbang Lawas Local Plan 2035’ jamin kelestarian pembangunan Limbang, Lawas – Awang Tengah

Posted on 02 May 2024
Source of News: TVS



KUCHING, 1 Mei: Kajian komprehensif sedang dijalankan terhadap ‘Projek Limbang Lawas Local Plan 2035’ sebagai jaminan terhadap kelestarian pembangunan di Daerah Limbang dan Lawas, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata tumpuan sepenuhnya terhadap kajian harus dilaksanakan agar pelan terbabit seimbang daripada segi aspek fizikal dan ekonomi untuk kedua-dua daerah berkenaan.

“Ini adalah kerana pelbagai projek bakal dan sedang dilaksanakan dengan rancaknya di Daerah Limbang dan Lawas seperti projek perindustrian, jambatan, lapangan terbang, Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) dan Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Selain daripada Limbang Lawas Local Plan 2035, terdapat dua lagi projek yang tidak kurang penting iaitu Miri City Local Plan 2035 dan Sibu Town Local Plan 2035,” katanya pada Majlis Apresiasi Warga Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Sr Zaidi Mahdi serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Hairani Mohamad Ismail.

Mengulas lanjut, Awang Tengah yang juga, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, kerjasama erat dalam pasukan juga penting bagi memastikan kesemua projek sedia ada siap dilaksanakan sepenuhnya.

“Tahun 2024 merupakan tahun kritikal buat kita semua kerana kita telah berada di separuh penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Baki setahun setengah lagi sebelum memasuki RMK-13 untuk kita menyiapkan kesemua projek yang telah diluluskan dibawah RMK-12.

“Keupayaan dan kecekapan kita dalam pengurusan projek pastinya akan dinilai sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan peruntukan projek projek baharu dibawah RMKe-13 nanti,” katanya lagi.

Justeru tegas Awang Tengah, sekiranya ada projek yang tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu, tindakan segera perlu diambil untuk memindahkan siling peruntukan ke projek-projek lain yang memerlukan. -TVS