News

 

60 ekor kerbau dikorban sempena Hari Raya Aidiladha di Limbang

Posted on 18 Jun 2024
Source of News: TVS



LIMBANG, 17 Jun: Sebanyak 60 ekor kerbau dikorbankan oleh pelbagai pihak termasuk wakil rakyat, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan, orang perseorangan, jawatankuasa masjid dan surau sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Limbang pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, sebanyak 10 ekor kerbau dikorbankan di bawah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota untuk ibadah korban tahun ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah menjelaskan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha di daerah ini dirai secara sederhana tetapi meriah dengan kebanyakan masjid dipenuhi jemaah termasuk pemimpin bersama rakyat untuk bersama-sama bertakbir memuji kebesaran Allah dan menunaikan solat sunat Aidiladha.

“Bagi kita di daerah Limbang kira-kira lingkungan 50 hingga 60 ekor kerbau dikorbankan saban tahun sempena Hari Raya Aidiladha.

“ Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota mengendalikan 10 ekor, termasuk di Masjid Jannatul Firdaus melibatkan lima ekor, Pusat Khidmat satu ekor, Lembaga Amanah Kebajikan Islam (LAKIL), dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) masing-masing dua ekor kerbau,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban Limbang LAKIL dan PERKIM Cawangan Limbang di Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang hari ini.

Turut sama pada program itu ialah isteri Dr Abdul Rahman yang juga Pengerusi Perkim Cawangan Limbang, Datin Dayang Maimunah Awang Mohd Daud serta Bendahari LAKIL Daerah Limbang, Mahmud Amit.

Dr Abdul Rahman turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada masyarakat Islam di Sarawak sambil meminta mereka untuk menghayati erti sebenar ibadah korban dan mengukuhkan perpaduan. -TVS.