News

 

Lebih 10,000 dijangka meriahkan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Agong di Limbang

Posted on 06 Jun 2025
Source of News: UKAS

 

Sambutan Agong
(Duduk, dari kiri) Unos, Dr Abdul Rahman, Sagah dan tetamu kenamaan lain pada Sidang Media
Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2025, pada Khamis.

LIMBANG: Lebih 10,000 pengunjung dari Sarawak, Sabah, Brunei dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka memeriahkan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2025 yang diadakan di Limbang dari 11 hingga 15 Jun ini.

Menteri Bertanggungjawab untuk Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2025 Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata,  Bahagian Limbang dipilih sebagai tuan rumah untuk sambutan kali ini.

Beliau berkata, sambutan diadakan di lokasi berbeza setiap tahun bagi menyebarluaskan kepada setiap lapisan masyarakat di Sarawak termasuk Bahagian Limbang tentang kepentingan dan pemahaman tentang institusi Raja.

“Kita memberi peluang kepada semua bahagian di Sarawak termasuk di Bahagian Limbang untuk mengadakan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

“Limbang dipilih untuk sambutan pada tahun ini bagi memberi peluang kepada rakyat memahami kepentingan dan pemahaman tentang institusi Raja.

“Dalam konteks perpaduan, Yang di-Pertuan Agong mencerminkan sumber kekuatan kepada kepelbagaian kaum yang ada di negara ini dan pengimbang kepada keadilan dan kesejahteraan di antara warga Malaysia bagi mencapai kemakmuran bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2025 di sebuah hotel di sini, pada Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Residen Bahagian Limbang Unos Tambi dan kenamaan lain.

Sagah yang juga Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) berkata, pelbagai program menarik akan diadakan bermula sepanjang tempoh tersebut.

Antara program yang diadakan katanya, termasuk Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Dewan Suarah pada 11 Jun, Pameran Raja Kita bermula 12 hingga 15 Jun di Dewan Suarah Limbang, Khutbah Khas di seluruh masjid di Sarawak (13 Jun), Majlis Kesyukuran di Masjid Jannatul Firdaus Limbang pada 13 Jun bermula jam 6 petang dan Majlis Jamuan Teh di Dewan Suarah pada 14 Jun ini.

Turut diadakan aktiviti sampingan seperti Limbang Kitchen, Limbang Idol dan aktiviti lain.