Berita

 

Alumni pelajar SMK Limbang sejak 1962 anjur majlis makan malam, kumpul dana bantu sekolah

Disiarkan pada 23 Feb 2026
Sumber Berita: Utusan Sarawak


KUMPUL DANA… Kaunselor Sufian Mohat merancang majlis makan malam alumni SMK Limbang sejak 1962 hingga 2025 bagi mengumpul dana membantu keperluan sekolah dan pelajar.
 

LIMBANG: Majlis makan malam melibatkan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang sejak 1962 dijangka diadakan tahun ini, sekali gus menjadi pertemuan bermakna selepas 64 tahun.

Pengerusi Persatuan Alumni SMK Limbang, Kaunselor Sufian Mohat, berkata majlis itu bukan sahaja bertujuan menghimpunkan alumni pelbagai generasi, malah bagi mengumpul dana untuk memenuhi keperluan pelajar dan sekolah.

Menurut beliau, majlis berkenaan dijangka dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga merupakan alumni SMK Limbang.

“Kami di peringkat alumni masih belum pernah menganjurkan program berskala besar untuk menghimpunkan bekas pelajar daripada pelbagai generasi. Melalui majlis ini, kami berharap dapat menyatukan alumni lama dan baharu.

“Pada masa yang sama, kita akan mengumpul dana bagi membantu pihak sekolah, khususnya pelajar, dalam apa jua keperluan di peringkat sekolah,” katanya kepada media hari ini.

Selain majlis makan malam, pelbagai program lain turut dirancang, termasuk penyampaian sumbangan 150 kerusi kepada warga sekolah itu baru-baru ini.

Sufian berkata, inisiatif berkenaan merupakan usaha Persatuan Alumni SMK Limbang untuk melengkapkan keperluan sekolah hasil kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), di samping membina jalinan kerjasama berterusan antara alumni dan pihak sekolah.

Oleh Adeng Edrus